Ambil manfaat Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari – Mufti Wilayah Persekutuan
MAJLIS Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama 10 hari bermula 10 November lalu di Dewan Solat Utama Masjid Putra, Putrajaya.
Perasmian khatam majlis ini disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 November lalu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, tujuan majlis berkenaan diadakan untuk mengangkat majlis-majlis ilmu sebagaimana yang digagaskan Perdana Menteri dalam agenda membangun Malaysia Madani.
“Selain itu, majlis juga meneruskan kesatuan ummah dalam menuju Transformasi Al-Falah yang dirancang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dengan berpaksikan kalimah tayyibah (baik).
“Tentunya Majlis Sama’ Hadis Kitab Sahih Al-Bukhari adalah sebahagian daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Isnin.
Beliau meluahkan rasa syukur kerana umat Islam di Malaysia dapat melihat dan merasai tradisi turun-temurun ulama sulam dalam membaca serta mendengar bacaan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya lagi, manfaat yang sangat banyak yang boleh dilihat dalam pelbagai aspek, antaranya:
1 – Pendedahan kepada kitab Sahih Al-Bukhari yang menjadi sumber utama dalam agama Islam selepas al-Quran.
2 – Periwayatan dan pengijazahan sanad Kitab Sahih Al-Bukhari daripada para syeikh-syeikh yang diundang dari dalam dan luar negara.
3 – Menimbulkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dengan menatap dan mendengar setiap hadis yang dibaca.
4 – Peluang bersama dan bertukar pandangan dalam kalangan para ulama dan syeikh yang hadir sama ada dari dalam atau luar negara.
5 – Merapatkan ukhuwah dan mahabbah dalam kalangan para peserta berdaftar yang melebihi 1,500 orang yang bersama setiap hari selama 10 hari.
6 – Mendisiplinkan diri dan bersabar dalam membaca dan mendengar bacaan sama ada oleh para syeikh dan para muqri’ (guru).
7 – Pertambahan ilmu yang terhasil daripada pembacaan, pemahaman dan perbincangan bersama para ulama dan syeikh yang hadir.
8 – Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW setiap kali melalui hadis-hadis yang dibaca muqri’.
9 – Selepas menjalani program secara riwayah, ia membuka minat yang mendalam ke arah program secara dirayah yang akan diteruskan oleh para peserta di peringkat masing-masing.
10 – Menjadi motivasi untuk beramal dengan segala sunnah Rasulullah SAW dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan.
Tambah Mufti Wilayah Persekutuan lagi, terlalu banyak manfaat yang terhasil daripada majlis sama’ yang boleh dikutip.
“Semoga ia terus menjadi program berkala tahunan oleh pihak kerajaan dan negara ini terus meraih keberkatan dengan program-program yang baik begini.
“Di sebalik kejayaan dan manfaat yang diraih dalam program ini, jika ada sebarang kelemahan dan kekurangan yang timbul, ia adalah kelemahan manusia yang boleh berlaku di mana-mana program yang boleh sentiasa ditambah baik pada masa hadapan.
“Sebarang teguran dan nasihat membina boleh diambil perhatian oleh pihak penganjur,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur yang terdiri daripada agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan At-Taibah, TV al-Hijrah dan semua agensi yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!