AKSB tangani masalah Air Tidak Berhasil
KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil beberapa langkah bagi mengatasi punca kadar Air Tidak Berhasil (NRW) disebabkan kehilangan fizikal dan komersial di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, AKSB melakukan pencarian dan pembaikan paip bocor secara proaktif oleh pasukan khas dengan menggunakan peralatan yang sesuai.
AKSB turut menukar paip uzur dari jenis Asbestos Cement (AC) kepada jenis High Density Polyethylene (HDPE), Polyvinyl Chloride (PVC) dan paip besi (mild steel concrete lining) dengan menggunakan dana dalaman dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
"Bagi mengatasi kehilangan komersial pula, AKSB melakukan penukaran meter pengguna berusia lebih 10 tahun dan meter yang dikenal pasti gagal memberi bacaan tepat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (Pas-Chetok) yang bertanya mengenai langkah-langkah yang diambil oleh AKSB bagi mengurangkan kadar NRW pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.
Selain itu katanya, AKSB turut menaik taraf sistem pengebilan bagi mengurangkan ralat semasa proses bacaan meter air pengguna, selain penubuhan pasukan penguatkuasaan bagi menangani kes kecurian air.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Harun Ismail (Pas-Tawang) mengenai tindakan kerajaan negeri terhadap kemalapan garisan putih di jalan raya sehingga membahayakan pengguna, Izani berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mengenal pasti beberapa jalan yang perlu diselenggara dan dikelaskan mengikut keutamaan.
"Setiap tahun anggaran peruntukan yang dimohon melebihi RM400 juta manakala yang diluluskan adalah sekitar RM120 juta sahaja," katanya.
Jelasnya lagi, pembaikan berperingkat akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang disalurkan dan mengikut keutamaan berdasarkan kerosakan yang dialami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!