Tiga sekeluarga maut kereta bertembung pacuan empat roda
SETIU - Tiga sekeluarga maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai hilang kawalan dalam kejadian awal pagi Isnin.
Mangsa, Nur Ardiena Kamarudin, 30, dan ibunya Maimunah Mat Isa, 54, maut di lokasi kejadian manakala bapanya Kamarudin Ibrahim, 55, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas berlaku di Kilometer (KM) 53, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lerek, di sini sekitar jam 4.50 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian, Perodua Axia dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, Kelantan, manakala sebuah lagi kenderaan iaitu Toyota Hilux dalam perjalanan dari Tunjong, Kota Bharu, Kelantan; menghala ke Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux telah hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia yang dinaiki empat beranak itu," katanya di sini pada Isnin.
Mohd Zain berkata, mayat ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.
"Seorang lagi ahli keluarga mangsa iaitu Nur Azwa Shamimi, 21, yang cedera parah di bahagian paha kanan juga dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
"Pemandu dan penumpang Toyota Hilux berusia 24 dan 18 tahun yang mengalami kecederaan ringan juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan," ujarnya.
Menurut Mohd Zain, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!