Peruntukan RM8.9 juta bantu pesawah di Selangor

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan RM8.9 juta kepada pesawah bagi mengurangkan beban kerugian mereka apabila padi yang ditanam diserang penyakit.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim memaklumkan peruntukan bantuan disalurkan pada kadar RM500 sehektar iaitu RM300 bayaran tunai dan RM200 bayaran benih padi.

Menurutnya, bencana berkaitan tanaman padi seperti banjir, kemarau dan padi rebah dialami pesawah perlu terlebih dahulu dilaporkan kepada pihak IAD-ABLS dan juga Jabatan Pertanian untuk siasatan, semakan dan pengesahan sebelum diluluskan Jawatankuasa Bencana Peringkat Negeri dan Persekutuan.

"Penyaluran bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) antaranya bantuan kerugian hasil padi pada peringkat tanaman padi 71 hingga 120 hari ialah RM1,800 sehektar.

"Bantuan penanaman semula padi pada peringkat tanaman satu hingga 70 hari ialah RM876 sehektar manakala bantuan bencana kemarau pada peringkat tanaman padi satu hingga 120hari ialah RM876 sehektar," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN - Sabak) mengenai bantuan kepada pesawah akibat kerugian kerana padi ditenggelami air pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Izham yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah turut memaklumkan, bantuan input tanaman padi pula tertakluk kepada cadangan Jawatankuasa Teknikal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!