Ops Tiris 3.0: KPDN tahan 604 individu, nilai rampasan lebih RM87 juta

Armizan (tengah) menyampaikan anugerah kepada kadet kursus keseluruhan terbaik.
Armizan (tengah) menyampaikan anugerah kepada kadet kursus keseluruhan terbaik.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan lebih RM87 juta nilai rampasan pelbagai barangan terkawal dan bersubsidi dalam Ops Tiris 3.0 bermula Januari hingga 22 November tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sepanjang tempoh itu seramai 604 individu telah berjaya ditahan membabitkan warga tempatan dan warga asing.

Menurutnya, kementerian itu akan terus mempertingkatkan usaha untuk memastikan subsidi kerajaan sama ada barang terkawal atau bersubsidi sampai kepada golongan sasar.

"Ops tiris ini dilaksanakan adalah untuk kita menangani isu ketirisan yang saya sebutkan fokusnya kepada barang kawalan dan barang kawalan subsidi.

"Kita mulakan Ops Tiris ini dulu dengan hanya menumpukan kepada ketirisan bahan subsidi diesel, namun telah kita perluaskan kepada barang-barang lain seperti RON95, minyak masak peket, gula dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan 2024 di Kem Permata Alor Gajah, di sini, pada Isnin.

Armizan depan, (dua, kiri) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan 2024 di Kem Permata Alor Gajah, di Alor Gajah, pada Isnin.
Armizan depan, (dua, kiri) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan 2024 di Kem Permata Alor Gajah, di Alor Gajah, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 39,069 pemeriksaan premis telah dilaksanakan di seluruh negara dengan menghasilkan sebanyak 2,521 kes.

"Manakala Ops Kesan yang dilaksanakan bermula 1 Januari sehingga 23 November lalu telah merekodkan sebanyak 4,200 pemeriksaan premis selain menerima 166 aduan awam," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, dengan adanya pertambahan pegawai penguat kuasa KPDN akan dapat meningkatkan keberadaan atau kehadiran anggota penguat kuasa di pelbagai lokasi secara berterusan bagi memastikan kawalan dan pemantauan yang efektif.

Menurutnya, dalam situasi sekarang bilangan jentera penguat kuasa begitu terhad menyebabkan penempatan pegawai dan anggota tidak boleh dibuat mengikut jumlah pentadbiran daerah yang wujud di seluruh negara.

"Sebilangan pentadbiran cawangan KPDN terpaksa berhadapan dengan cabaran liputan kawasan kawal selia yang terlalu luas dan isu logistik,

"Manakala sebahagian pula berhadapan dengan jumlah kepadatan kependudukan dan jumlah premis perniagaan yang amat tinggi," katanya lagi.

Pada kursus itu seramai 284 pegawai termasuk 244 pegawai lantikan baharu serta 40 pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) telah berjaya menamatkan latihan.

Mereka terdiri daripada Pegawai Penguat Kuasa Gred KP41, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred KP29 dan Pembantu Penguat Kuasa Gred KP19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!