Pahang jamin akan tambah kawasan hutan - Wan Rosdy
RAUB - Kerajaan negeri memberikan jaminan untuk memastikan kawasan berhutan di Pahang akan terus bertambah selepas ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini Pahang memiliki kawasan hutan seluas 2.06 juta hektar mewakili 57 peratus keluasan negeri ini sekali gus muncul penyumbang terbesar kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.
"Lebih pentingnya saya ingin nyatakan di sini hutan simpan kita 57 peratus yang dijaga, Insya-ALLAH tidak akan berkurangan dan bertambah mungkin.
"Seluas 1.6 juta hektar merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diuruskan berdasarkan Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.
"Malah kerajaan negeri juga telah mewartakan seluas 645,751 hektar ataupun 40 peratus HSK sebagai hutan pelindungan yang mana tidak boleh disentuh apalagi diusik untuk kerja-kerja pengusahasilan hutan," katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd.Razak dan Pengarah Perhutanan Pahang, Zainuddin Jamaluddin.
Ujar Wan Rosdy, ketegasan kerajaan negeri yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah haram termasuk aktiviti pembalakan secara haram telah menampakkan kesan positif.
Jelasnya, mereka yang terlibat akan terus diheret ke mahkamah dan tiada lagi dikenakan kompaun seperti sebelum ini.
"Alhamdulillah, tindakan ini telah memberi kesan dan berjaya mengurangkan aktiviti penerokaan tanah secara haram di negeri ini dan nampak ada perubahan.
"Setakat ini, sebanyak 105 kes telah dibawa ke mahkamah dan saya percaya angka ini semakin berkurangan dan meminta mahkamah walaupun saya tidak mahu masuk campur supaya mengenakan hukuman maksimum kerana ia merugikan hasil kerajaan negeri," tambahnya.
Katanya, situasi itu menyebabkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjadi antara penyumbang utama kutipan hasil iaitu sebanyak RM1 bilion setiap tahun dan ia dapat dicapai bagi tempoh tiga tahun ini menerusi hasil penguatkuasaan dan kutipan kompaun.
Jelasnya, JPNP telah menyumbangkan hampir RM100 juta hasil kutipan hutan yang turut menyumbang kepada kejayaan kutipan negeri sebanyak RM1.144 bilion sehingga November.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu Pahang kini meneroka potensi perdagangan karbon (karbon kredit) melalui pengurusan hutan lestari.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada penyerapan karbon global tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada negeri melalui pembangunan hijau.
"Usaha ini diharap dapat membantu kerajaan negeri untuk menjadikan Pahang sebagai negeri ke hadapan dalam melaksanakan Agenda Netzero menjelang 2030 iaitu lebih awal berbanding Dasar Netzero Kebangsaan 2050," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!