Selangor rekod 813 kes keganasan rumah tangga
SHAH ALAM - Selangor merekodkan 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dari Januari hingga Ogos 2024, dengan daerah Gombak mencatatkan kes tertinggi sebanyak 147 kes.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, ini menandakan perlunya tindakan kolektif dan kolaborasi semua pihak dalam menangani isu ini.
Sehubungan itu, ujarnya, pelbagai program dilaksanakan sepanjang tempoh Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak bermula 25 November sehingga 10 Disember.
"Kempen ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan berasaskan gender, termasuk keganasan rumah tangga dan juga memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai langkah yang boleh diambil oleh mangsa untuk melindungi diri.
"Selain itu, ia juga bagi menggalakkan penglibatan semua pihak dalam usaha membasmi keganasan berasaskan gender," katanya pada Majlis Perasmian Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak di sini pada Isnin.
Terdahulu, majlis perasmian kempen di Dewan Makan Annex, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Anfaal mengulas lanjut berkata, dalam membendung keganasan berasaskan gender di serata dunia, 16 Hari Aktivisme terhadap Keganasan Berasaskan Gender adalah kempen antarabangsa tahunan bermula pada 25 November sehingga 10 Disember.
Jelasnya, Selangor menggunakan tema "Bersatu! Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak" bagi sambutan kempen itu bagi tahun 2024.
"Kempen ini bukan sekadar aktivisme, ia adalah panggilan untuk bertindak. Kita perlu bersatu untuk menghentikan keganasan yang meragut kesejahteraan wanita dan kanak-kanak," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!