Kastam Sabah rampas minuman keras bernilai lebih RM500,000
KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan bernilai RM528,082 dalam rampasan di Kota Kinabalu dan Beaufort bulan lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, pegawai dari Cawangan Siasatan Khas bersama Unit Marin dan Unit Luar Gudang Kastam menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 10 Oktober lepas.
"Pemeriksaan itu menemukan 3,000 karton atau 23,760 liter minuman keras, yang dianggarkan bernilai RM90,050.40 dengan melibatkan cukai RM368,375.04 di dalam kontena itu.
"Siasatan awal mengesahkan kontena itu diikrarkan mengandungi bahan makanan dalam tin seperti kacang dan ikan. Ikrar itu dibuat untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Siti berkata, pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu pula telah membuat serbuan dan pemeriksaan di stor tidak bernombor Jalan Padas Valley Kampung Luagan Sanginan Beaufort dalam rampasan kedua pada 24 Okt lepas.
"Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan minuman keras disyaki tidak berkastam sebanyak 468 karton bernilai RM13,867.26, dengan cukai RM55,790,20. Seorang lelaki yang juga pemilik premis turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!