JPA nafi kenyataan mengenai skim pencen
PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung Skim Pencen Baru seperti yang ditularkan di aplikasi Whatsapp dan Telegram.
Menerusi laman Facebook, JPA memaklumkan, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut boleh mengundang keresahan dan kekeliruan orang awam.
Tegas jabatan itu, perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.
"Ingat! Tidak pasti jangan kongsi. Sentiasa merujuk laman rasmi JPA sebagai hebahan maklumat yang tepat dan benar," katanya pada Isnin.
Terdahulu tular mengenai beberapa skim pencen baharu susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula 1 Disember ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!