Rompak gelang emas: Buruh dipenjara lima tahun

Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang buruh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seutas gelang tangan emas daripada seorang warga emas di Pasir Puteh pada 16 November. - Gambar hiasan
Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang buruh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seutas gelang tangan emas daripada seorang warga emas di Pasir Puteh pada 16 November. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang buruh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seutas gelang tangan emas daripada seorang warga emas di Pasir Puteh, pada 16 November.

Adnan Abdullah, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa merompak seutas gelang tangan emas milik seorang peniaga kedai runcit berusia 60 tahun, di hadapan kedai runcit milik wanita itu, di Pasir Puteh pada jam 1.30 tengah hari, 16 November.

Adnan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun Adnan yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman paling minimum, atas alasan dia terpaksa melakukan perbuatan itu kerana terdesak mahu menggunakan wang bagi perbelanjaan kos isteri bersalin anak ketiga di hospital.

Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta mengidap penyakit kencing manis, mengaku telah menyesal selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu dan mahu meminta maaf dengan mangsa.

Selepas meneliti dan mendengar hujahan serta rayuan Adnan, Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh tangkap, 16 Nov dan dikecualikan sebatan atas faktor usia.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli juga berharap tertuduh tidak mengulangi perbuatan jenayah itu kerana boleh membahayakan orang awam, selain mengarahkan gelang tangan emas terbabit dikembalikan semula kepada pemiliknya, manakala motosikal yang digunakan tertuduh perlu diserahkan kepada polis kerana bersabit dengan kes curi kenderaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!