Johor naik taraf 55 klinik kesihatan
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor telah menaik taraf bagi 55 klinik kesihatan yang dikategorikan sebagai daif di seluruh negeri sepanjang tempoh 2024.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, proses naik taraf itu adalah sebagai kesinambungan terhadap proses naik taraf sebanyak 43 klinik kesihatan daif sebelum ini.
Katanya, proses naik taraf tersebut diharap dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan terutamanya penjagaan kesihatan serta tahap keselesaan pesakit ketika datang mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan berkenaan.
“Kerajaan Johor sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi mengenal pasti fasiliti kesihatan primer yang daif dan perlu dinaik taraf.
“Bagi perancangan tahun hadapan pula, sebanyak 45 fasiliti kesihatan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan kerja-kerja naik taraf ini,” katanya.
Tian Soon berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berhubung status dan perancangan kerajaan negeri bagi kerja-kerja naik taraf klinik daif di negeri ini seperti Klinik Kesihatan Gelang Patah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, pada Isnin.
Tambah Tian Soon, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah pun membuat lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Gelang Patah baru-baru ini.
Katanya, hasil lawatan tersebut beberapa perancangan telah dibuat bagi perancangan jangka pendek.
“Kerajaan negeri akan membantu dalam perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan, perabot dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang telah uzur bagi penggantian segera,” katanya.
Sementara itu, Tian Soon berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membantu dari segi penyewaan dua unit rumah kedai bagi tujuan perkhidmatan klinik ibu dan anak.
Katanya, perkhidmatan klinik ibu dan anak di kawasan perumahan Lima Kedai, dilihat boleh mengurangkan kesesakan di klinik sedia.
“Selain itu, penyediaan ruang parkir dalam kawasan Klinik Kesihatan Gelang Patang di belakang kuarters klinik berkenaan.
“Bagi perancangan jangka panjang pula, kerajaan negeri akan terus berusaha bersama kerajaan pusat bagi merealisasikan pembinaan klinik kesihatan baharu Jenis 2 di tapak berhampiran Klinik Kesihatan Gelang Patah sedia ada,” ujarnya.
____________________________________________________________
Tiada kenaikan elaun guru KAFA di Johor
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri tidak merancang untuk menaikkan elaun guru Kelas Asas dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dan ia kekal pada kadar RM512 sebulan.
Bagaimanapun, menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, guru-guru KAFA tetap mendapat elaun lain yang diperuntukkan kepada penjawat awam.
“Setiap guru KAFA diberikan elaun dan bantuan khas kerajaan yang lain seperti Bantuan Khas Kewangan (BKK), sebanyak RM2,000 seorang sebagai tambahan kepada BKK yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu sebanyak RM700 seorang pada tahun ini.
“Guru-guru KAFA sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri yang memperuntukkan sebanyak RM1.63 juta setahun bagi membiayai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP dan RM231,600 setahun bagi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.
Mohd Fared berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail berhubung cadangan kenaikan elaun guru KAFA daripada RM512 kepada RM1,000 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, pada Isnin.
Sementara itu Mohd Fared berkata, biarpun penambahan elaun guru KAFA tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat, kerajaan negeri akan sentiasa bersikap cakna terhadap isu kebajikan kewangan mereka.
“Kakitangan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) juga turut diberikan latihan dan kursus sama ada di peringkat negeri atau daerah yang diselia oleh Bahagian Pendidikan Islam bagi memperkasa mutu, kualiti dan kemahiran guru-guru KAFA di negeri ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!