Retreat PRNUIM: Memperkasa peranan Rumah Ngaji
MELAKA - Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka (PRNUIM) telah menganjurkan Hari Mahabbah dan Mesyuarat Agung PRNUIM untuk penyatuan penggerak Rumah Ngaji di D'Nelayan Resort, Masjid Tanah pada 22 hingga 23 November lalu.
Retreat ini menjadi platform penting untuk memperbaharui visi dan misi pertubuhan, dengan penekanan terhadap usaha memupuk masyarakat celik al-Quran.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI), Marhaini Yusoff, yang berkongsi pandangan beliau mengenai hala tuju dan matlamat Rumah Ngaji sebagai agen transformasi masyarakat.
Marhaini menegaskan kepentingan Rumah Ngaji sebagai wadah untuk mendekatkan masyarakat kepada al-Quran dan nilai-nilai murni.
“Rumah Ngaji adalah jantung kepada gerakan gelombang al-Quran. Usaha ini bukan sahaja untuk mengajar, tetapi juga untuk membentuk jiwa dan minda masyarakat agar lebih memahami makna hidup berlandaskan al-Quran.
“Surah Al-Saff sebagai surah pilihan dalam kempen #QuranHour sepanjang tahun 2025. Ia membawa mesej kepatuhan dan ketaatan sepenuhnya kepada ALLAH SWT. Segala kerja dakwah perlu dilakukan kerana ALLAH SWT.
“Apabila kita sentiasa bertasbih dan melakukan sesuatu hanya kerana ALLAH, maka pertolongan-Nya akan hadir, seterusnya membawa kita kepada kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut mengajak semua penggerak Rumah Ngaji sebagai marsus atau 'binaan yang kuat' sebagaimana yang dianjurkan dalam Surah Al-Saff, demi meneruskan perjuangan membawa al-Quran kepada masyarakat.
Marhaini menyentuh tentang visi besar WUIF, Mengqurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah menjelang tahun 1500H.
"Kita perlu membina karakter dalam diri setiap Muslim iaitu Quran, Solat, dan Infak (QSI) dengan berpandukan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5," katanya.
Dalam sesi perkongsiannya, beliau turut menyampaikan harapan pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub, untuk menyempurnakan program rakaman My #QuranTime 2.0 yang memerlukan dana sebanyak RM6 juta.
Setakat ini, sebanyak 10 juta naskhah al-Quran melalui Wakaf al-Quran untuk Ummah telah diedarkan bersama penubuhan 5,000 Quran Corner di seluruh negara.
Sementara itu, bekas Pengerusi PRNUIM, Nuratikah Amir berkata, program kali ini bertujuan untuk membina ukhuwah dan memacukan gerakan Rumah Ngaji di Melaka.
“Kita meraikan rakan Rumah Ngaji yang bertahun-tahun berjuang dalam menegakkan visi al-Quran, di sebalik cabaran kesihatan, kekangan kewangan dan masa. Kini sebanyak 25 Rumah Ngaji di Melaka yang masih aktif.
“Dengan pelantikan barisan baharu jawatankuasa PRNUIM 2025/2026, mereka yang dilantik dapat menggalas tanggungjawab dengan baik, amanah dan berintegriti. Kita belum menang, jadi kita perlu teruskan perjuangan al-Quran dalam satu barisan yang teguh,” katanya.
Pengerusi baru PRNUIM, Dr Azizah Dollah berkata, PRNUIM diharapkan lebih bergerak aktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang bukan sekadar mengaji, malah penghayatan lebih mendalam al-Quran serta pengurusan Rumah Ngaji secara bersistematik.
“Kita dapat memperkasakan objektif PRNUIM agar dapat berjalan dengan lebih efektif. Pihak kami sejak awal bekerjasama rapat dengan WUIF dan memberi sokongan aktiviti #QuranHour di sepanjang tahun. Ini termasuk penganjuran World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour di negeri ini,” katanya.
Antara pengisian retreat ini adalah sesi tadabbur Surah al-Saff disampaikan oleh bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Dr Sofia Mohamed.
Program ini juga menampilkan sesi taaruf dan bertukar-tukar hadiah dengan tujuan mempereratkan silaturrahim dalam kalangan para penggerak Rumah Ngaji.
Mesyuarat agung tahunan yang diadakan menyaksikan pelantikan jawatankuasa baharu, dengan fokus kepada strategi memperkasakan lagi peranan Rumah Ngaji di peringkat komuniti.
Wakil Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim dan beberapa penggerak Rumah Ngaji di Negeri Sembilan berkata, sekiranya semua penggerak Rumah Ngaji yang mendapat panduan Surah al-Saff untuk meluruskan barisan dan membumikan al-Quran, ia boleh memberi impak positif kepada masyarakat.
“Rumah Ngaji bukan sekadar sebuah institusi, tetapi sebuah keluarga besar yang membawa misi membina ummah yang lebih baik,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rumah Ngaji, sila layari https://www.quranhour.org/rumahngaji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!