Pusat kecantikan tawar rawatan estetik secara haram meningkat
GEORGE TOWN - Peningkatan pusat kecantikan menjalankan prosedur perubatan estetik secara haram yang boleh mengancam nyawa dan kesihatan masyarakat di Pulau Pinang didakwa membimbangkan.
Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) berkata, pusat kecantikan dikendalikanindividu yang tidak mempunyai kelayakan perubatan berani menawarkan prosedur seperti suntikan botox, pengisi dermal dan rawatan laser.
Menurutnya, mereka menggunakan peralatan tidak disteril dan produk tidak berdaftar yang meletakkan pelanggan mereka dalam risiko jangkitan, alahan dan kesan sampingan serius.
"Lebih buruk lagi, mereka sering kali mengeksploitasi keinginan masyarakat untuk tampil cantik dengan menawarkan harga murah dan promosi menarik.
"Ini menyebabkan ramai individu terutamanya golongan muda, terpengaruh. Perbuatan ini bukan sahaja mencalar imej industri pelancongan kesihatan di Pulau Pinang tetapi juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sektor kesihatan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Isnin.
Ah Teong berkata, operasi dan serbuan perlu dilaksanakan bagi menghalang pusat kecantikan haram daripada terus beroperasi.
Beliau berkata, dipercayai terdapat 176 pusat kecantikan yang mempunyai lesen di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Bagaimanapun katanya, angka pusat kecantikan tidak berlesen mungkin lebih tinggi.
"Saya ingin tahu berapa kerap pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang melakukan siasatan dan operasi pemantauan ke atas pusat-pusat tersebut?
"Dipercayai sebahagian besar pengendali pusat kecantikan haram ini merupakan warga China, Taiwan dan Korea yang datang ke Pulau Pinang menggunakan pas pelancong.
"Mereka bertindak sebagai surgeri atau doktor membuat pembedahan kosmetik kepada pelanggan jauh lebih murah hingga 50 peratus berbanding kos ditawarkan oleh pakar bertauliah," katanya lagi.
Beliau berkata, sekiranya isu terbabit terus dibiarkan, ia akan memberi kesan berbahaya kepada pelanggan kerana tidak memikirkan implikasi dan keselamatan.
Tambahnya, begitu juga klinik kendalian warga Taiwan yang menawarkan rawatan stem cell kepada orang awam kerana harganya murah.
"Doktor haram ini perlu dibanteras malah kempen kesedaran awam perlu dilaksanakan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya prosedur estetik tidak dikawal selia.
"Kita juga harus menggalakkan individu untuk memilih klinik estetik yang berlesen dan dikendalikan oleh doktor bertauliah," katanya lagi.
Difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 352 aduan berkaitan isu komplikasi selepas pengadu menjalani prosedur estetik yang dijalankan di premis tidak berdaftar sepanjang tempoh hampir dua tahun sehingga September lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, KKM menerima 306 aduan tahun lalu.
Prosedur estetik invasif hanya boleh dijalankan di premis berdaftar atau berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!