'Ibu hanya tahu cucu meninggal dunia'
KOTA BHARU - Ibu mangsa kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 53, Kampung Sungai Lerek, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu pada Isnin belum mengetahui tragedi yang berlaku ke atas anak dan menantunya.
Adik mangsa, Nor Syahida Ibrahim, 38, berkata, ibunya, Siti@Fatimah Amah, 74, hanya mengetahui cucunya yang meninggal dunia dalam kejadian itu.
Menurut Nor Syahida yang juga adik kepada Kamarudin Ibrahim, 55, ibunya berkali-kali berdoa supaya anak dan menantunya selamat.
"Kami belum bersedia memaklumkan 'pemergian' abang serta kakak ipar kerana bimbang kesihatan ibu yang menghidap penyakit jantung," katanya ketika ditemui di kediamannya di Telipot pada Isnin.
Nor Syahida juga memberitahu, ibunya dijadualkan menjalani pembedahan jantung dalam masa terdekat.
Sinar Harian melaporkan, tiga beranak maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa maut ialah Nur Ardiena Kamarudin, 30, serta ibu bapanya, Maimunah Mat Isa, 54, dan Kamarudin Ibrahim.
Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Negeri Sembilan selepas menghadiri majlis konvokesyen adik bongsu, Nur Azwa Shamimi, 21, di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.
Jelas Nor Syahida lagi, Nur Azwa Shamimi kini kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
"Kami semua mendoakan Nur Azwa Shamimi diberikan kekuatan dan dapat melepasi tahap kritikal supaya segera dipindahkan ke hospital di Kota Bharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!