KUSKOP bincang pengecualian cukai koperasi dengan LHDN
TELUK INTAN - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berkaitan cadangan pengecualian cukai bagi perbelanjaan mesyuarat agung ke atas pertubuhan koperasi di negara ini oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, bagi tujuan itu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang mengadakan sesi libat urus secara spesifik dengan LHDN.
Menurutnya, perkara tersebut sebelum ini dibahas dan dibincangkan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan pada bulan Julai lepas malah secara peribadi sudah menyatakan pandangan kepada LHDN mengenai cadangan itu minggu lalu.
"Pendirian saya konsisten dengan keperluan koperasi yang saya lihat ketika ini supaya kalau bukan keseluruhan perbelanjaan mesyuarat agung itu, sekurang-kurangnya ditetapkan siling tertentu yang boleh dikecualikan daripada dikenakan cukai.
"Saya mengangkat cadangan ini juga mewakili gerakan koperasi dan pada masa sama mengambil kira keperluan penjanaan hasil kepada negara kita. Tapi saya beranggapan secara peribadi ini boleh diteliti oleh Kementerian Kewangan khususnya LHDN. Apa yang saya mahu sahkan ketika ini libat urus dan perbincangan antara SKM dan LHDN masih berlangsung," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Ladang Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) dan Perasmian De 1 MOCCIS Banquet Hall di De MOCCIS Lake Resort, di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh.
Ewon berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan kerana koperasi juga perlu membayar caruman kepada Kumpulan Wang Amanah yang digunakan untuk membantu pendidikan dan pembangunan Gerakan Koperasi.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa KUSKOP akan mempergiat sesi libat urus dengan semua pihak berkaitan termasuk ahli Parlimen dalam merangka draf pindaan Akta Koperasi 1993.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan penyediaan draf akta berkenaan dilakukan secara spesifik sebelum ia dibentangkan sepenuhnya di Dewan Rakyat nanti.
"Saya tidak hanya mahu membentangkan rancangan (pindaan akta tersebut) kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas draf itu dibuat. Saya mahu ahli Parlimen menyumbang kepada pembikinan dan penyediaan draf itu sendiri selain sesi libat urus turut diadakan dengan Gerakan Koperasi serta pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
"Saya mahu mereka menjadi sebahagian besar daripada penyediaan pindaan Akta Koperasi, jadi itu kita akan lakukan," katanya.
Beliau turut menjangkakan kertas cadangan mengenai perkara itu akan dibentangkan ke Kabinet pada hujung tahun ini selepas mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara seterusnya dibentangkan di Dewan Rakyat.
Pada Oktober lalu, media melaporkan Ewon dalam satu kenyataan memaklumkan Akta Koperasi 1993 akan dipinda melibatkan 96 peruntukan asal dalam akta tersebut yang akan disusun semula dan ditambah baik sebelum dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!