Johor putuskan GISBH sesat - Mufti

Yahya ( tiga dari kiri) pada Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor, Cabaran Ancaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di UTHM, Batu Pahat.
Yahya ( tiga dari kiri) pada Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor, Cabaran Ancaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di UTHM, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Johor menjadi negeri terbaharu memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman pengikut GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, keputusan dibuat Jabatan Mufti Negeri Johor itu selari dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

"Untuk makluman, fatwa ini sudah diputuskan dan juga dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor dan baginda meminta supaya kita mengenal pasti dan menguatkuasakan fatwa yang ada.

"Kita buat keputusan terhadap GISBH berdasarkan kepada keputusan MKI peringkat kebangsaan yang memutuskan sesuatu keputusan, pandangan hukum sebagaimana GIBSH bercanggah dengan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor di Dewan Kuliah Universiti Tun Hussein Onn di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Perlis, Pahang dan Melaka mengisytiharkan ajaran GISBH sebagai sesat.

Pada 14 November lalu, ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dari syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan pengikutnya adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKI Kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Yahya, Jabatan Mufti Negeri Johor kini dalam proses untuk mewartakan keputusan yang diputuskan supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pengikut mereka.

Dalam pada itu, ujarnya Jabatan Mufti turut memutuskan ajaran Qardiani yang diasaskan Mirza Ghulam Ahmad dari India juga menyeleweng dari ajaran Islam.

"Keputusan serupa juga ditetapkan kepada ajaran Qadiani yang telah difatwakan haram pada awal tahun 60an namun kini ada cubaan untuk menghidupkan semula ajaran itu.

"Antara ciri-ciri penyelewengan ajaran ini adalah pengasasnya mendakwa dia sebagai Nabi, mendakwa menerima wahyu, mengaku sebagai imam Mahdi dan tidak percaya syurga dan neraka,"

Jelas beliau, kerajaan negeri akan memastikan kedua-dua fahaman ini yang merupakan ajaran yang sesat perlu untuk dibanteras daripada terus berkembang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!