Tidak sempat bertemu, Ramlah Ram sifatkan Ahmad Nawab seperti bapa
PENYANYI Ramlah Ram menyifatkan hubungannya dengan maestro muzik, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab ibarat anak dengan bapa.
Jelas Ramlah, 59, Allahyarham adalah figura yang membantu menaikkan namanya dalam industri seni.
Justeru pemergian Allahyarham memberi kesan dan disifatkan satu kehilangan sangat besar bukan hanya untuk dunia muzik bahkan dirinya secara peribadi.
"Saya sangat terkejut apabila mengetahui pemergian arwah menerusi rakan, saya tahu pun agak lewat kerana berada di luar.
"Memang saya sangat terasa dengan pemergian arwah kerana beliau sudah diibaratkan seperti bapa saya. Sejak saya datang ke Kuala Lumpur dari kampung, arwah yang banyak membantu saya termasuk memberi nasihat," katanya.
Ramlah berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves pada Isnin.
Berkongsi peribadi Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuhnya Ahmad Khan Nawab Khan, penyanyi yang meledak dengan lagu Kau Kunci Cintaku menyifatkan arwah seorang yang bertanggungjawab dan mengambil berat individu disekelilingnya.
"Orang selalu kata dia garang, walhal arwah seorang yang kelakar dan mengambil berat perihal orang di sekelilingnya.
"Biasa kalau selesai bekerja, arwah akan tawarkan diri untuk hantar pulang dan pastikan saya selamat sampai di rumah serta sering ingatkan mengenai kesihatan," jelasnya.
Ramlah berkata, dia bagaimanapun berasa sedikit terkilan kerana tidak sempat menziarahi Allahyarham, terutama tatkala kesihatan lelaki itu semakin merosot sejak beberapa bulan lalu.
“Saya tak tahu dia sakit sebab dia sangat privasi. Bila saya nak ziarah, dia tak izin. Jadi saya hormati permintaanya.
“Saya memang ada beberapa kali berhasrat untuk berjumpa dengannya tetapi selalu tertangguh. Itu yang menyebabkan saya rasa menyesal dan terkilan sangat,” ujar Ramlah menahan sebak.
Meledak dengan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab seperti Kau Kunci Cintaku, Apa Khabarmu Di Sana, Ramlah juga menyifatkan Allahyarham sebagai komposer terunggul tanah air.
“Dia memiliki sentuhan tersendiri yang tidak sama dengan orang lain. Semua lagu-lagunya membekas di hati saya dan semua hasil karyanya ada jiwa.
“Arwah sudah menghasilkan berbelas album untuk saya tentunya itu menjadi memori terindah buat diri saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!