Bin Zayed International buka pejabat di KL, penglibatan sulung di Asia Tenggara

Johari (dua dari kanan) bergambar bersama Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan dan Shah Rukh Khan di Majlis pembukaan BZI (M) Bhd.
Johari (dua dari kanan) bergambar bersama Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan dan Shah Rukh Khan di Majlis pembukaan BZI (M) Bhd.
A
A
A

SYARIKAT peneraju pelaburan global, Bin Zayed International (BZI) membuka pejabat terbaharu di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur sebagai tanda penglibatan sulung di Asia Tenggara.

Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Syarikatnya, Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan berkata, pembukaan syarikat Bin Zayed International (M) Bhd itu bakal menjadi pangkalan utama operasi firma di rantau ini bagi meneroka peluang pelaburan lebih luas dan menggiatkan pembangunan.

Acara pemotongan riben sempena perasmian pembukaan BZI (M) Bhd.
Acara pemotongan riben sempena perasmian pembukaan BZI (M) Bhd.

“Kehadiran kami di Malaysia menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjalanan kami daripada organisasi tempatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada kumpulan yang berkembang di peringkat global.

“Memandangkan Asia Tenggara bakal muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi, kami bertekad untuk turut menjadi salah satu pihak berkepentingan di rantau ini dengan menyumbang kepada pertumbuhan tersebut dan memupuk kemakmuran lebih meluas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan.
Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pada 2023, ekonomi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan KDNK nominal mencecah 3.8 trilion dolar Amerika Syarikat (AS).

Ujarnya, rantau ini dijangka menduduki tempat keempat di peringkat global menjelang 2030.

Artikel Berkaitan:

"Selepas bertapak kukuh di pasaran global utama termasuk Eropah dan Timur Tengah, BZI kini berusaha untuk memacu pertumbuhan serta inovasi dalam persekitaran perniagaan Asia Tenggara yang dinamik.

"Penubuhan itu juga dirancang secara strategik untuk memanfaatkan lokasi utama Malaysia di rantau ini termasuk kekayaan sumbernya seperti infrastruktur mantap, sambungan digital, tenaga kerja berkemahiran dan hubungan kukuh dengan negara jiran.

"Berbekalkan rangka kerja kawal selia kukuh dan kepakaran mendalam dalam pematuhan syariah, Malaysia merupakan pemimpin antarabangsa dalam kewangan Islam serta membolehkan firma ini memanfaatkan kumpulan pelanggan yang lebih luas," jelasnya.

Tambah beliau, BZI komited untuk membawa masuk 2 bilion dolar AS ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mempercepatkan lagi aspirasi ekonomi negara sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Dr Shamir Kumar Nandy berkata, pihaknya berhasrat untuk membina masa depan yang diimpikan semua pihak sambil menekankan komitmen firma kepada usaha membawa manfaat berkekalan kepada ekonomi serantau.

"Kami mencapai hasrat ini dengan menetapkan wawasan, dan berusaha gigih untuk mencapainya. Kami akan memberi tumpuan terhadap apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik berbanding mana-mana organisasi lain di dunia dan inilah cara kami membuka laluan kejayaan.

"Dalam dunia yang kian berubah, kami perlu meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya dan mempunyai fleksibiliti untuk berkembang maju dengan cara yang responsif dan relevan," tambahnya.

Tan Sri Johari Abdul
Tan Sri Johari Abdul

Dalam pada itu, mewakili Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, usaha berkenaan jelas memperlihatkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat kepada pelabur antarabangsa.

“Kami menyokong misi BZI untuk memacu pelaburan global ke Malaysia dan kawasan serantau yang lebih luas. Kerajaan bersedia untuk berganding bahu dengan organisasi berkenaan sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani dalam mencorakkan masa depan lebih cerah bagi seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.

Shah Rukh Khan turut berucap di majlis berkenaan.
Shah Rukh Khan turut berucap di majlis berkenaan.

Turut berucap di majlis berkenaan, bintang filem terkenal, Datuk Shah Rukh Khan, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada BZI atas pembukaan pejabat terbaharu itu.

"Komitmen mereka untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dan membina masa depan yang lebih cerah sememangnya patut dipuji.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha mereka untuk mencetus impak bermakna di seluruh dunia," katanya.

BZI ditubuhkan pada 1988 oleh seorang ahli perniagaan terkemuka dan kerabat diraja Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Khaled Zayed Saquer Al Nahyan.

Syarikat berkenaan merupakan sebuah konglomerat global terkemuka dengan kepentingan perniagaan yang terpelbagai.

Kumpulan tersebut mempelopori pelaburan di berbilang benua dengan melabur berbilion dolar AS merentasi pelbagai sektor termasuk pembinaan, tenaga, perdagangan, hartanah, teknologi, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.

Sempena pembukaan BZI (M) Bhd, ia diraikan dalam satu acara yang dibahagi kepada dua bahagian iaitu dimulakan dengan majlis pemotongan reben eksklusif oleh Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan, diiringi puteranya, Sheikh Khalifa Zayed Al Nehayan.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Bin Zayed, Sheikh Midhat Kidwail; Shamir dan ahli Lembaga Pengarah BZI serta kakitangan utama yang lain.

Hari bersejarah itu disusuli dengan majlis malam gala yang menghimpunkan pegawai kerajaan, tokoh industri dan tetamu kehormat lain sebagai bukti kepentingan kehadiran firma tersebut di Kuala Lumpur.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Pengiran Muda Abdul Hakeem Ibni Jefri Bolkiah dari Brunei; Pesuruhjaya Tinggi Republik Uganda, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr Betty Oyella Bigombe; Duta Besar Thailand, TYT Lada Phumas dan Duta Besar Laos, TYT Thepthavone Sengmany.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!