Penguatkuasaan papan tanda iklan pastikan premis ikut peraturan - DBKL

Laporan Sinar Harian berkaitan DBKL memberi amaran tegas terhadap papan tanda iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
Laporan Sinar Harian berkaitan DBKL memberi amaran tegas terhadap papan tanda iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan penguatkuasaan pematuhan papan tanda iklan di enam lokasi pusat beli-belah pada tahun ini.

DBKL memaklumkan, sebanyak 31 notis kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi dijalankan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Menurutnya, operasi itu membabitkan pematuhan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Kesalahan dikesan termasuk tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda dan premis dikenakan kompaun selain tindakan menurunkan papan iklan juga boleh dilakukan oleh DBKL.

"Selain itu tindakan turut diambil terhadap premis yang melanggar syarat-syarat iklan dan peruntukan tersebut seperti perkataan dalam bahasa kebangsaan perlu lebih besar daripada saiz huruf dalam bahasa lain," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu susulan berita mengenai penguatkuasaan papan tanda dwibahasa di sekitar Kuala Lumpur yang mencetuskan kontroversi.

Pada Ahad Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya tidak setuju dengan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa DBKL kerana menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

King Sing memaklumkan terdapat beberapa pelawat antarabangsa bertanya secara langsung kepadanya, adakah Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama?

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, keraguan itu secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.

DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan dijalankan sekitar Kuala Lumpur itu bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi peraturan termaktub dalam peruntukan ditetapkan.

"DBKL bertanggungjawab memproses dan meluluskan papan tanda iklan premis perniagaan yang merupakan sebahagian daripada lesen komposit iaitu lesen diluluskan bersama lesen premis perniagaan.

"Semua pemilik premis perniagaan perlu memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan perlu terlebih dahulu memohon lesen sebagaimana diperuntukkan di dalam perenggan 5 (1) UUK Iklan WPKL 1982," katanya.

Jelasnya, berdasarkan UUK Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menyatakan semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain.

Ujarnya, ia selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia.

"Selain itu, huruf-huruf bagi perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain.

"Jika nama sesuatu firma, persatuan atau syarikat, sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri dari atau termasuk perkataan-perkataan yang bukan dalam bahasa kebangsaan, maka tidaklah perlu untuk menterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, " jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!