Dua budak perempuan mandi kolam ditemukan lemas
TUARAN - Dua kanak-kanak perempuan ditemukan mati lemas ketika mandi di kolam di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli, di sini pada Ahad.
Kedua-dua kanak-kanak berusia tujuh tahun itu ditemukan di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 6.04 petang dan sepasukan anggota segera ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kedua-dua mangsa telah dibawa ke rumah oleh ahli keluarga masing-masing dan hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsanya mandi di kolam tersebut bersama seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun iaitu adik kepada salah seorang mangsa lemas.
"Selepas kedua-dua mangsa lemas, kanak-kanak tersebut balik ke rumah sejauh kira-kira satu kilometer dan memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, beberapa penduduk kampung bersama keluarga mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
"Kedua-dua mangsa berjaya ditemui di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pihak ambulan dari Hospital Tuaran tiba di lokasi dan doktor kemudian mengesahkan kedua- dua mangsa telah meninggal dunia.
"Pemeriksaan pada tubuh badan mereka juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran," katanya.
Susulan kejadian itu, Noraidin berkata, ahli keluarga mangsa telah tampil ke Balai Polis Tamparuli untuk membuat laporan polis dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa peka keberadaan anak masing-masing bagi mengelak insiden yang menyedihkan itu berulang.
"Saya menggesa agar ibu bapa sentiasa peka terhadap pergerakan anak masing-masing dan melarang mereka bermain berhampiran kolam, takungan air atau sungai serta di kawasan yang berbahaya, terutama di musim tengkujuh ini.
"Selain itu, saya juga ingin menggesa semua pihak yang ada membina kolam atau apa-apa bentuk takungan air di kawasan masing-masing agar memasang pagar keselamatan serta tanda amaran sebagai peringatan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai meminta pemimpin masyarakat memberi keutamaan kepada keselamatan di kampung masing-masing bagi mengelak tragedi seperti itu berulang.
"Kita mesti menganggap kejadian ini sebagai 'panggilan' kesedaran untuk melakukan langkah-langkah keselamatan yang lebih kukuh demi meningkatkan keselamatan masyarakat setempat," katanya selepas melawat keluarga mangsa di kampung itu pada Isnin.
Dua kanak-kanak tersebut merupakan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rungus Nahaba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!