Taktik edar dadah guna pelbagai kenderaan terbongkar
KUALA LUMPUR - Taktik dua lelaki tempatan menggunakan pelbagai kenderaan untuk mengedar dadah terbongkar apabila mereka diberkas di sebuah residensi di Segambut, di sini, pada 18 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM449,681.70.
"Kita menahan dua lelaki berusia 29 tahun dan 31 tahun di hadapan lif di residensi berkenaan dalam serbuan pada jam 6.45 petang.
"Kita merampas lapan batang anak kunci, enam kad akses dan empat alat kawalan jauh serta dua kunci kenderaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pada Isnin.
Ahmad Sukarno berkata, siasatan lanjut, serbuan kedua di sebuah unit residensi sama dan merampas 1,982 paket plastik yang mengandungi serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) anggaran berat 101,850 gram.
"Kita kemudian menyerbu sebuah unit lain di residensi sama dan merampas satu alat kawalan jauh berlogo Volkswagen," ujarnya.
Beliau berkata, serbuan keempat pula dijalankan di sebuah lagi unit residensi sama dan berjaya merampas sejumlah 196 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA anggaran berat 9,942 gram.
"Kita telah merampas 450 biji pil erimin 5, lima peket pil ecstacy, lapan peket ketamin, 45 biji pil yaba yang dijumpai di dalam kotak di atas lantai bilik itu.
"Kita juga merampas satu alat kawalan jauh kereta berlogo Toyota dan alat-alat untuk memproses dadah," katanya.
Menurutnya, polis merampas sejumlah 11 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah MDMA anggaran berat 542 gram di dalam sebuah kereta Volkswagen Passat.
"Kita merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Perodua Myvi, Honda Civic dan Suzuki Swift," ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek itu aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.
"Mereka turut menjadikan unit residensi itu sebagai lokasi penyimpanan bekalan dadah.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain yang terlibat dan sumber bekalan diperoleh," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu akan menggunakan lima kereta yang turut dirampas dipercayai milik beberapa ahli perniagaan untuk urusan penghantaran dadah kepada pengedar kecil.
"Tujuan mereka bertukar-tukar kenderaan semasa menghantar dadah adalah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Ahmad Sukarno berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati negatif dadah.
"Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang juga penganggur itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga hari ini, sebelum disambung reman enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!