Virus selesema burung dikesan dalam susu mentah di California

Pegawai kesihatan awam di negeri California, barat AS mengesahkan bahawa virus selesema burung dikesan dalam sampel susu mentah yang dijual secara runcit yang dihasilkan ladang tenusu tempatan - Foto: Agensi
Pegawai kesihatan awam di negeri California, barat AS mengesahkan bahawa virus selesema burung dikesan dalam sampel susu mentah yang dijual secara runcit yang dihasilkan ladang tenusu tempatan - Foto: Agensi
A
A
A

LOS ANGELES - Pegawai kesihatan awam di negeri California, barat Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pada Ahad bahawa virus selesema burung dikesan dalam sampel susu mentah yang dijual secara runcit, yang dihasilkan oleh ladang tenusu tempatan, lapor Xinhua.

Jabatan Kesihatan Awam Daerah Santa Clara, yang telah menguji susu mentah daripada peruncit tempatan sebagai sebahagian daripada program pemantauan untuk selesema burung H5N1, dalam kenyataan media memaklumkan bahawa makmal kesihatan awam daerah itu mengenal pasti virus H5 dalam sampel susu mentah yang dihasilkan oleh Raw Farm LLC pada 21 November.

Daerah itu segera memaklumkan Jabatan Kesihatan Awam California, menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa susu mentah itu ditarik balik secara sukarela oleh syarikat berkenaan, dan pihak berkuasa telah menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil susu mentah yang tercemar itu.

Jabatan Kesihatan Awam California pada Ahad memberi amaran kepada orang ramai untuk mengelak pembelian susu mentah penuh dan susu mentah "cream top" keluaran Raw Farm LLC dari Daerah Fresno.

"Tiada penyakit yang dikaitkan dengan susu mentah itu,” menurut agensi itu.

Pegawai kesihatan awam menggesa pelanggan untuk "segera memulangkan sebarang produk yang masih ada ke lokasi pembelian” dan turut memaklumkan peruncit supaya mengeluarkan susu mentah yang terjejas daripada rak jualan mereka.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mengesahkan jangkitan manusia dengan selesema burung H5N1 pada seorang kanak-kanak di California pada Jumaat, menjadikannya kes pertama virus selesema burung H5 yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat.

Setakat ini, 55 kes manusia melibatkan selesema burung H5 telah dilaporkan di Amerika Syarikat sepanjang 2024, dengan 29 kes di California, menurut data yang dikeluarkan oleh CDC.

Artikel Berkaitan:

Penilaian risiko CDC bagi orang awam secara umumnya adalah rendah. Bagaimanapun, individu yang terdedah kepada haiwan yang dijangkiti atau berpotensi dijangkiti seperti burung, lembu tenusu atau haiwan lain, atau kepada persekitaran yang tercemar oleh burung atau haiwan yang dijangkiti, berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!