DUN Kelantan lulus Belanjawan 2025
KOTA BHARU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Isnin sebulat suara meluluskan Belanjawan 2025.
Belanjawan dibentangkan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud manakala 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbahas dalam perbahasan Belanjawan 2025.
Melalui sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohd Nassuruddin berkata, beberapa perkara utama dibangkitkan oleh ADUN dan sudah dijawab dalam penggulungan.
"Antara isu yang dibangkitkan ialah isu Felda, pengurangan peruntukan pembangunan, tunggakan cukai tanah dan sistem e-tanah," katanya.
Mohd Nassuruddin pada Khamis lepas membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 bertemakan 'Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri' berjumlah RM1.45 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM93.02 juta.
Belanjawan 2025 disusun secara bertumpu bagi memenuhi pelaksanaan dan penyempurnaan sebahagian daripada Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam 2023-2033 dan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024-2028 yang mencakupi lima elemen Maqasid Syariah.
Beliau dalam pada itu berkata, kesyukuran paling besar ialah persaudaraan dan ukhuwah Islamiyyah yang menjadi kesepakatan memartabatkan syariat Islam di Kelantan.
"Saya mengajak kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil peluang memperkukuhkan kerjasama dalam meletakkan Islam sebagai solusi di bawah fasa pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ADUN yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!