Ahmad Nawab hasilkan lebih 2,000 buah lagu sepanjang tujuh dekad
ANAK keempat Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab iaitu Nassier Khan, 62, merancang untuk menerbitkan buku nota muzik bapanya.
Katanya, projek bersama Kementerian Komunikasi di bawah MyCreative Ventures itu diharap dapat memelihara lebih 2,000 karya Allahyarham sepanjang tujuh dekad dalam industri seni.
"Setakat ini karya-karya Allahyarham dari zaman piring hitam sehinggalah ke kaset masih elok terpelihara, termasuklah nota muzik dan gambar lama.
"Jadi saya rancang untuk bukukan nota muziknya kerana Allahyarham sudah hasilkan lebih 2,000 buah lagu sepanjang terlibat dalam industri seni.
"Selain itu, kerajaan negeri Pulau Pinang juga merancang untuk menjadikan rumah arwah datuk dan nenek saya di sana sebagai galeri atau muzium Ahmad Nawab. Namun semua itu masih dalam perancangan lagi," jelasnya.
Nassier berkata demikian ketika ditemui di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih pada Isnin.
Berkongsi saat akhir bapanya, Nassier berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dalam keadaan tenang.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata arwah bapanya sebelum itu berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami kesukaran bernafas.
"Arwah tidak ada sebarang penyakit kronik, tidak juga sakit terlantar. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah berada dalam keadaan duduk.
"Ketika lihat dia 'pergi' saya dan adik rasa tidak percaya," katanya yang menyifatkan bapanya seorang yang baik dan sukar melihatnya marah.
Jenazah komposer terkenal itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini pada 11.10 pagi.
Beri penghormatan terakhir
Sementara itu, penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang turut meluangkan masa memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Ahmad Nawab.
Bukan itu sahaja, Hetty, 67, turut berkongsi memori terindah ketika merakamkan lagu bersama Allahyarham.
"Saya ada banyak lagu yang saya rakam tapi saya tidak ingat. Kami juga banyak kenangan ketika merakamkan lagu bersama.
"Apa yang pasti, setiap lagu Allahyarham yang saya nyanyikan pasti masuk ke dalam hati kerana lagu-lagunya sangat melodis," ujarnya.
Hetty Koes Endang berkata demikian ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Taman Melawar, Kuala Lumpur.
Sering berulang-alik ke Malaysia, Hetty berkata, cucu Allahyarham memaklumkan Ahmad Nawab akan sentiasa menonton persembahannya meskipun dari kaca televisyen.
“Cucunya akan memberitahu saya yang arwah akan menonton persembahan saya.
“Oleh itu, saya harus datang untuk melihat beliau untuk beri penghormatan terakhir... Saya betul-betul rasa kehilangan," jelasnya.
Terdahulu, jenazah dikafan dan disolatkan di Surau At-Tarbiah Al Islamiah, Taman Melewar sebelum dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 10.40 pagi.
Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan rakan artis hadir memberi penghormatan terakhir.
Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di kediamannya di Taman Melewar, Gombak pada petang Ahad.
Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman, terutama dalam bidang muzik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!