Cadang Negeri Sembilan warta peruntukan pembangkang
SEREMBAN - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mencadangkan supaya pemberian peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini dapat diwartakan agar isu itu tidak berulang di masa hadapan.
Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) berkata, Barisan Nasional (BN) pernah menjadi kerajaan dan tidak memberikan peruntukan kepada pembangkang pada waktu itu, ramai ADUN DAP dan PKR pernah rasa tidak mendapat peruntukan.
Bagaimanapun katanya, pada 2018 semasa PH menjadi kerajaan, BN juga hadapi perkara yang sama, tidak dapat peruntukan.
"Jadi apa salah PN (Perikatan Nasional)? kami adalah parti baharu jadi tidak bolehkah Sikamat (Menteri Besar), jangan mulakan kerana kami bimbang jika kami pula jadi kerajaan perkara ini akan terus berulang.
"...Sehinggalah kesemua 31 ADUN (kerajaan) tiada lagi, perkara ini akan terus diwarisi ADUN yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Isnin.
Mohamad Hanifah memohon kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun jika dapat diselitkan peruntukan kepada ADUN pembangkang seterusnya mewartakannya dalam sidang DUN berkenaan.
" ADUN kerajaan ada 31 oang, dua pertiga sudah cukup kita selesaikan isu ini, saya yakin satu masa, kalau tuan ada di sini (kerusi pembangkang) tidak perlu lah merayu lagi kepada kerajaan pada masa tersebut," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan negeri dapat mencontohi negeri lain seperti Johor, Selangor dan Perak yang turut memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!