Jamal Abdillah, Hattan beraksi di makan malam amal TMESA 14 Disember ini

Jamal Abdillah (kiri), Hattan
Jamal Abdillah (kiri), Hattan
A
A
A

ORANG ramai masih berpeluang untuk menyaksikan dua bintang legenda, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Disember depan.

Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, kedua-dua penyanyi itu akan mengadakan persembahan sempena program Makan Malam Amal TMESA bagi membantu murid asnaf di kawasan pedalaman.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 70 meja berjaya dijual daripada jumlah keseluruhan yang dianggarkan sekitar 90 buah.

“Penjualan meja mendapat sambutan memberangsangkan dengan sebahagian besarnya adalah daripada penaja.

“Penjualan meja masih lagi dibuka kepada mereka yang berminat. Sekiranya mereka (pengunjung) tidak mahu membeli meja, kita juga menawarkan tiket bermula RM100 untuk menyaksikan sahaja persembahan dua bintang ini di galeri yang disediakan.

“Sebab itu, saya syorkan sangat makan malam amal ini untuk mereka yang ingin menderma,” katanya dalam program Interviu pada Isnin.

Program itu dihoskan Haizir Othman dan turut menampilkan Hattan yang bersiaran langsung di semua platform Sinar Harian.

Tambah Muhammad Nasir, TMESA turut melaksanakan program Sponsor A Student (SAS) bagi pelajar Tingkatan Dua hingga Lima yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Haizir sebagai hos bersama Muhammad Nasir dan Hattan dalam program Interviu berlangsung di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Dari kiri: Haizir sebagai hos bersama Muhammad Nasir dan Hattan dalam program Interviu berlangsung di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, sehingga kini, seramai 1,048 murid berjaya dibantu melalui program tersebut.

“Ahli Jawatankuasa TMESA pergi melawat ke rumah mereka, tengok keadaan penempatan dan kehidupan masing-masing.

“Kami bantu pelajar ini juga hasil daripada bantuan alumni dan bukan alumni, iaitu daripada kalangan orang ramai yang ingin betul-betul membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Hattan berkata, artis di negara ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk melibatkan diri dalam program amal jariah.

Jelasnya, ia adalah penglibatan keempatnya untuk program amal jariah melibatkan sekolah bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Saya tahu apa itu erti kesusahan kerana saya juga membesar bukan dalam kalangan orang senang. Sebab itu, saya suka libatkan diri demi masa depan mereka,” katanya.

Jelas Hattan, majlis makan malam amal berkenaan merupakan platform sesuai bagi pihak penaja berhibur sambil melakukan amal jariah.

Orang ramai boleh membeli tiket bagi majlis tersebut pada harga RM15,000, RM10,000, RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 bagi satu meja.

Untuk maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh menghubungi Nik Ahmad di talian 019-4524567 atau Hatta, 018-2239934.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!