17 hilang selepas bot safari karam berhampiran Marsa Alam, Mesir
KAHERAH - [DIKEMAS KINI] Seramai 17 individu termasuk pelancong dan anak kapal warga Mesir, dilaporkan hilang selepas bot safari mereka karam di kawasan utara bandar Marsa Alam di Laut Merah, menurut Pentadbiran Wilayah Laut Merah Mesir di laman Facebook rasmi pada Isnin.
Bot itu membawa 45 orang termasuk 31 pelancong dan 14 anak kapal.
Amro Hanfy, gabenor Wilayah Laut Merah memberitahu Xinhua, 28 mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar menggunakan pesawat udara untuk rawatan perubatan.
"Usaha intensif sedang dijalankan untuk mencari individu yang hilang dengan kerjasama angkatan bersenjata dan tentera laut," kata Hanfy.
Gabenor menambah bahawa frigat El-Fateh dan kapal terbang terus menyisir kawasan itu.
Beliau menggesa orang ramai agar menjauhi lokasi kejadian supaya pasukan penyelamat dapat menjalankan tugas mereka.
Menurut maklumat awal, bot itu karam berhampiran kawasan terumbu karang di utara Marsa Alam. Pusat kawalan di wilayah Laut Merah menerima isyarat kecemasan daripada anak kapal pada Isnin dari bot bernama 'Sea Story' sekitar 5:30 pagi waktu tempatan (0330 GMT).
Bot itu dalam perjalanan ke lokasi menyelam, meninggalkan Pelabuhan Ghalib di Marsa Alam pada 24 Nov dan dijadualkan pulang ke Marina Hurghada pada 29 Nov, menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!