Kereta mewah, barangan Datuk Vida disita gagal jelas hutang

Empat kereta mewah Hasmiza (kanan) atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida disita oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di rumahnya di Meru pada Isnin.
Empat kereta mewah Hasmiza (kanan) atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida disita oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di rumahnya di Meru pada Isnin.
A
A
A

EMPAT kereta mewah antara barangan milik usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida yang disita oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di rumahnya di Meru di sini pada Isnin.

Empat kereta yang disita ialah dua buah Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan sebuah BMW X7 serta semua barangan di dalam rumah terbabit.

Menurut The Star, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman gagal menjelaskan hutang sebanyak RM1,060,285 untuk pengubahsuaian kilangnya di Shah Alam, Selangor menjadi studio pada 2018.

Pihak mahkamah bersama peguam, Samir Zainal dan kontraktor Mohamad Taufik Kamarul tiba di rumahnya di Persiaran Bukit Meru pada jam 9 pagi.

Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan masuk kira-kira jam 10.30 pagi selepas beberapa kakitangan Hasmiza tiba.

Menurut Samir, mahkamah mengeluarkan penghakiman yang memerintahkan Hasmiza menyelesaikan hutang pada 29 Oktober tahun lalu.

"Semua barang di dalam rumah sudah disita selepas hampir empat jam kecuali bilik Vida yang berkunci

"Beliau mempunyai dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menyelesaikan hutang itu, jika tidak barang-barang disita terbabit akan dilelong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Samir, pihaknya dimaklumkan oleh kakitangan Vida bahawa usahawan terbabit kini berada di China dan akan menghubunginya dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mohamad Taufik menyatakan bahawa dia telah berusaha mendapatkan semula wangnya selama enam tahun sejak 2018.

Jelasnya, Vida melantik sebuah firma perunding untuk pengubahsuaian itu yang kemudian mendapatkan perkhidmatan syarikatnya sebagai sub kontraktor.

Bagaimanapun, syarikatnya tidak menerima bayaran selepas Vida dikatakan gagal membayar firma perunding berkenaan menyebabkan beliau memfailkan kes muflis terhadap firma itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!