Polis kesan lelaki warga asing lari dari mahkamah
ALOR GAJAH - Polis melancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan seorang lelaki warga asing berusia 30-an yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 pagi tadi daripada Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang memaklumkan suspek melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangan bergari kira-kira jam 10.10 pagi.
"Suspek disyaki memanjat pagar ke arah kawasan semak berhampiran.
"Ketika kejadian, suspek dalam perjalanan dibawa masuk ke dalam kenderaan dan tiba-tiba menolak pegawai pengiring lalu melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata ketika kejadian, lelaki itu yang memakai baju-T berwarna biru muda dan berseluar panjang putih dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kes berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Usaha mengesan suspek turut dibantu Unit Anjing Pengesan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ashari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!