Tragedi banjir tiada kesudahan
TRAGEDI banjir bukanlah satu perkara yang asing lagi di negara ini.
Malah ada penduduk yang terpaksa berdepan situasi ini bertahun-tahun lamanya.
Mengimbau sejarah, negara pernah berdepan banjir besar pada Januari 1971 yang dianggap terburuk sehingga mengorbankan 57 nyawa.
Banjir yang digelar 'Bah Besar 1971’ masih menyelubungi rakyat Malaysia terutama di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, dan Johor tidak terkecuali Lembah Klang.
Hampir keseluruhan tanah rendah telah ditenggelami air pada waktu itu sehingga menjejaskan ratusan ribu mangsa.
Tragedi ini dikatakan berpunca daripada hujan lebat tanpa henti selama seminggu ditambah pula faktor saliran yang tidak mampu menampung kuantiti hujan yang banyak.
Susulan itu, kerajaan telah mengisytiharkan Darurat Bencana Negara di seluruh negara berkuat kuasa bermula 5 Januari 1971.
Selepas 53 tahun berlalu, kejadian banjir seumpama ini tidak pernah berakhir.
Penduduk bukan sahaja terpaksa melalui situasi sama berulang kali, malah mengalami kerugian akibat kemusnahan harta benda.
Di pihak kerajaan, peruntukan besar dikeluarkan untuk membantu penduduk terjejas selain memperbaiki segala kerosakan yang terjadi.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 memaklumkan, nilai kerugian akibat banjir pada tahun 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.
Nilai kerugian tersebut meliputi kerosakan tempat kediaman sebanyak RM168.3 juta; kenderaan (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta) dan pembuatan (RM10.3 juta).
Selain itu ia turut melibatkan kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta serta aset awam dan infrastruktur (RM380.7 juta).
Persoalannya, sampai bilakah negara akan terus menghadapi tragedi banjir ini yang seolah-olah dianggap sebagai satu acara tahunan?
Adakah perlu setiap tahun kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk menghadapi kerugian akibat banjir?
Kita sedia maklum, kedudukan Malaysia yang berada di kawasan beriklim tropika lazimnya menerima hujan yang tinggi.
Hujan dalam tempoh dua jam membawa kepada kejadian banjir kilat.
Aktiviti penebangan hutan tidak terkawal, bukit-bukau digondol dan pembangunan rakus memburukkan lagi bencana banjir.
Situasi ini terbukti apabila semakin banyak kawasan yang membangun dilanda banjir kilat.
Faktor perubahan iklim dunia yang drastik juga telah menyumbang kepada banjir kilat yang teruk di Malaysia apabila kawasan yang jarang-jarang dinaiki air sebelum ini turut terjejas akibat banjir kilat.
Menurut pakar klimatologi, Dr Fredolin Tangang, trend menunjukkan bahawa kekerapan banjir semakin kerap berlaku berbanding 20 tahun yang lepas. Di Kuala Lumpur misalnya, kejadian ribut petir dan hujan meningkat sebanyak 35 peratus dalam masa 30 tahun.
Selain itu, kelemahan sistem perparitan dan penyelenggaraan longkang turut menjadi punca banjir kilat.
Ditambah pula dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab, membuang sampah, sisa bahan industri di dalam saluran perparitan sehingga tersumbat dan menyebabkan banjir kilat.
Faktor-faktor memburukkan lagi banjir di negara ini tidak seharusnya diambil ringan.
Sewajarnyalah pihak berkuasa memberi tumpuan kepada penyelesaian isu yang menjadi punca.
Malaysia juga seharusnya menjadikan ‘Room For The River’ yang dilaksanakan Belanda sebagai contoh dalam pencegahan risiko banjir dan pengurusan sungai.
Belanda yang berkedudukan di bawah paras laut dan menjadi potensi tinggi berdepan banjir besar membuat pelaburan hampir 3 bilion euro bagi mengurangkan banjir secara drastik pada tahun 2007 hingga 2015.
Melalui program 'Room for the River', sungai di Belanda diberikan lebih ruang untuk mencegah bencana banjir, sekali gus memastikan penduduk tidak perlu berpindah, yang pada hakikatnya akan meningkatkan lagi perbelanjaan mangsa.
Matlamat utama program berkenaan bukan sahaja mencegah bencana, namun pada masa sama memelihara alam sekitar dan kualiti sungai. Malah, model yang diguna pakai Belanda juga boleh diambil untuk menangani risiko banjir kilat yang kerap berlaku di banyak kawasan di Malaysia termasuk di ibu negara.
Walaupun mungkin melibatkan kos yang tinggi, namun ia adalah langkah terbaik bagi mengelak kejadian banjir yang lebih buruk di negara ini selain dapat menyelamatkan nyawa, harta benda serta mental penduduk yang sering diancam bencana yang tiada kesudahan itu.
* Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!