Jangan ada lagi ‘Pantai Khemah’ kedua

Tindakn MPPD arah semua pengusaha khemah biru di Pantai Teluk Kemang menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 November lalu melegakan banyak pihak. Foto hiasan
Tindakn MPPD arah semua pengusaha khemah biru di Pantai Teluk Kemang menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 November lalu melegakan banyak pihak. Foto hiasan
A
A
A

TINDAKAN Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengarahkan semua pengusaha khemah biru di Pantai Teluk Kemang menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 November lalu melegakan banyak pihak.

Arahan menerusi notis dikuat kuasa melibatkan Pantai Teluk Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin tersebut didakwa sebagai langkah persediaan bagi menambah baik perniagaan sewaan khemah di pantai-pantai Port Dickson.

Notis itu memaklumkan akan memindahkan dan mengalihkan halangan tersebut tanpa notis selanjutnya mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) jika dipatuhi.

Sebelum ini aduan demi aduan malah beberapa laporan pernah disiarkan media tempatan berhubung pengunjung yang rimas dengan keadaan itu.

Namun pengusaha tetap berdegil dan meneruskan aktiviti sewaan kanopi mereka.

Ada pengunjung yang mendakwa mereka pernah dihalau dan disindir gara-gara bentang tikar depan khemah biru di pantai berkenaan.

Harus diingat bukan semua orang mampu menyewa kanopi atau khemah biru yang berharga RM70 sehingga RM240 bergantung kepada pakej.

Situasi terbabit tentulah mengundang rasa tidak harmoni dan orang ramai mendakwa akhirnya mereka tidak lagi berkunjung ke lokasi pantai peranginan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Malah jika keadaan itu berlarutan, ekonomi negeri juga mungkin terjejas kerana kebanyakan pengunjung dari luar tidak membelanjakan wang mereka di bandar kedua terbesar di Negeri Sembilan itu.

Apa yang berlaku di pantai itu memberi pengajaran kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini bahawa tindakan perlu diambil awal bagi mencegah ia berlanjutan dan menimbulkan banyak masalah kepada pelbagai pihak.

Ini kerana pengunjung ke pantai itu untuk melihat pemandangan biru lautan bukannya lautan khemah biru.

Kini keindahan pemandangan Pantai Teluk Kemang yang dahulunya terhalang dengan deretan khemah biru dapat dinikmati seluas-luasnya.

Diharapkan suasana pantai bebas daripada segala gangguan itu dapat dikekalkan sampai bila-bila dan di mana-mana sahaja negeri di negara ini dan bukannya bersifat sementara.

Ia bagi mengelakkan nama baik pantai peranginan terjejas di mata pelancong tempatan juga pelancong luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!