Tak benar ada yang sengaja sabotaj pelaburan - Pakar

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan wujud perbuatan sabotaj secara langsung terhadap pelaburan swasta di negara ini adalah tidak benar.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika perkara itu berlaku ia berkemungkinan bukan sesuatu yang dirancang.

“Contohnya apabila pelabur mahu melabur di negeri tertentu, proses pelaburan menjadi perlahan atau terbantut disebabkan prosedur birokrasi yang lembap.

“Mungkin juga disebabkan ketidakcekapan atau elemen rasuah dalam kalangan pegawai yang bertanggungjawab menguruskan projek pelaburan tersebut,” katanya.

Tambah Ahmed Razman, syarikat asing akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum melabur dalam projek tempatan seperti kos sewaan tanah, akses mencari pekerja, proses pelaburan, prospek ekonomi negara tersebut, kemudahan logistik dan utiliti asas serta kestabilan politik.

Sementara itu, ADUN Kota Darulaman, Teh Swee Leong menyifatkan kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung wujud komplot untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu hanya bersifat persepsi dan tanpa asas yang kukuh.

Menurutnya, sekiranya benar wujud komplot seperti didakwa, Muhammad Sanusi perlu tampilkan maklumat terperinci.

“Saya mohon Menteri Besar kemukakan bukti yang jelas dan terperinci untuk menyokong kenyataan beliau. Jangan hanya buat persepsi sebegitu apabila pelaburan dalam negeri gagal atau pihak terlibat menarik diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Swee Leong turut menyangkal dakwaan Muhammad Sanusi apabila menyamakan situasi yang berlaku di Kedah dengan kegagalan kerajaan Persekutuan yang turut kehilangan pelaburan.

“Tidak banyak pelaburan yang gagal seperti didakwa beliau.

“Pelaburan asing yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan terus memasuki Kedah dengan jumlah yang signifikan, termasuk pelaburan mega antaranya pembesaran Kulim Hi-Tech Park,” jelasnya.

Menurutnya lagi, semua pihak harus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama di semua peringkat dalam menarik lebih banyak pelaburan, bukannya menuding jari kepada pihak tertentu tanpa bukti jelas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!