Galas tanggungjawab jaga anak arwah abang, anggap seperti anak kandung

Norhaziantie Zailani (dua dari kanan) bersama keluarga serta anak-anak arwah abangnya.
Norhaziantie Zailani (dua dari kanan) bersama keluarga serta anak-anak arwah abangnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak pernah merasakan diri terbeban, seorang adik sanggup mengambil alih tugas dan tanggungjawab menjaga tiga anak arwah abangnya seperti anak kandung sendiri.

Itu yang dilalui seorang wanita, Norhaziantie Zailani, 34, yang mengambil alih tanggungjawab menjaga Mohamad Danish Uqasha, 11, Dhia Medina, 7 dan Damia Melissa Mohamad Shafiq, 4, selepas kematian abangnya dua tahun lalu.

Abangnya, Mohamad Shafiq Zailani, 33, bersama isterinya, Faeiznoor Mansor, 32 dan bayi mereka, Daryan Marwa Mohamad Shafiq, 10 bulan maut dalam kemalangan tragis di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 di Kuantan, Pahang pada November 2022.

Menurut Norhaziantie, walaupun sudah mempunyai tiga orang anak kandung, dia tidak merasa terbeban menjaga anak yatim piatu.

Norhaziantie.
Norhaziantie.

“Saya dan suami bukanlah orang senang tetapi Alhamdulillah, urusan kami semuanya dipermudahkan. Sekarang ini merekalah yang menceriakan hidup saya sekeluarga.

“Bila sudah ambil alih tanggungjawab, setiap hari saya rasa seperti membawa amanah besar kerana bukan sekadar menjaga tetapi memastikan makan, minum, kasih sayang dan emosi terjaga.

“Kadang-kadang, saya akan teringatkan arwah kemudian saya cuba bayangkan apa yang dia harapkan untuk anaknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Gambar keluarga arwah abangnya Mohamad Shafiq Zailani (kiri) bersama isterinya dan anak-anak.
Gambar keluarga arwah abangnya Mohamad Shafiq Zailani (kiri) bersama isterinya dan anak-anak.

Dalam pada itu, Norhaziantie berkongsi kisah kerap bermimpi tentang arwah abangnya.

“Pada mulanya arwah along akan datang dalam mimpi dan berpesan berkenaan anak-anaknya.

“Pernah sekali cakap ‘minta maaf along susahkan Yan, walau apa pun jadi tolong jaga anak-anak along ya Yan’,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun kadang-kadang ada perasaan bercampur baur antara kesedihan dan kekuatan, dia percaya dengan cara itu sahaja cara untuk menghormati arwah serta berikan yang terbaik untuk anaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!