Jangan ada ajaran seperti al-Arqam berkembang lagi

Anggota GISBH termasuk kanak-kanak didakwa didoktrin untuk mempercayai bahawa pemimpin mereka dilantik oleh Rasulullah, Imam Mahdi serta guru mursyid dari alam ghaib. Foto hiasan
Anggota GISBH termasuk kanak-kanak didakwa didoktrin untuk mempercayai bahawa pemimpin mereka dilantik oleh Rasulullah, Imam Mahdi serta guru mursyid dari alam ghaib. Foto hiasan
A
A
A

DALAM satu temu ramah dengan Washington Post pada 22 Mac 2018, Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad bin Salman ada menyatakan seperti berikut: “Kami menyebarkan fahaman Wahabi atas permintaan sekutu untuk menentang Soviet Union agar mereka tidak mempunyai pengaruh di negara Islam.”

Kenyataan ini jelas memberikan gambaran kesilapan kerajaan Arab Saudi yang fanatik dan terlampau mendewakan Muhammad bin Abdul Wahhab dan beberapa tokoh yang lain, membawa kepada wujudnya ekstremis dan radikal dalam agama.

Bahkan beliau juga menyatakan dalam TV al-Arabiyah bertarikh 28 Mei 2021 ketika diwawancara oleh wartawan Abdullah al-Mudayfir apabila ditanya tentang komitmen Muhammad bin Salman apakah beliau mengikuti mazhab pemikiran tertentu, seperti mazhab Muhammad bin Abdul Wahhab? Dan adakah hanya Muhammad bin Abdul Wahhab seorang yang berhak mentafsirkan nas-nas agama?

Muhammad bin Salman menegaskan lagi “Kita tidak boleh mengikut cendekiawan (agamawan, ilmuan dan pendakwah) tertentu, ini menyebabkan penghalang dalam kita menerima konsep ijtihad dan semua fatwa harus berdasarkan kepada kesesuaian waktu, tempat, dan pemikiran di mana ia dikeluarkan.”

Hari ini Muhammad bin Salman mengakui sendiri kesilapan pemimpin terdahulu dan berusaha memperbaikinya semula untuk tidak membenarkan lagi ideologi Wahabi terus berkembang biak di negaranya.

Menurutnya lagi: “Sekiranya Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab keluar dari kuburnya pada hari ini dan mendapati kita berkomitmen secara membuta tuli terhadap tafsiran beliau semata-mata, menutup akal kita untuk melakukan ijtihad semula serta meletakkan dirinya sebagai dewa sudah pasti beliau (Muhammad bin Abdul Wahab) akan menjadi orang pertama yang membantah perkara ini. Kita harus terus menerus menerima konsep ijtihad sentiasa terbuka dalam memahami teks al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.”

Pada penulis atas dasar itu ALLAH SWT melarang keras perbuatan tersebut dalam surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud: “Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”

Seterusnya beliau menyatakan ketegasan negaranya dalam mengangkat hadis sebagai sumber hukum:

Artikel Berkaitan:

“Hadis mutawatir sangat sedikit dan keasliaannya sudah pasti kuat, negara Saudi tidak menolak hadis ahad (hadis yang hanya diriwayatkan oleh seorang atau beberapa orang perawi sahaja mengikut perincian kategorinya sama ada masyhur, ‘aziz atau gharib) yang disokong dengan dalil kuat dari sumber syariah yang jelas dan mempunyai maslahat umum.”

Pada penulis kita tidak mahu wujudnya segolongan manusia yang memperkecilkan kesahihan hadis-hadis dalam kitab Sahih al-Bukhari. Ia merupakan kitab yang paling tinggi dari sudut darjat kesahihannya.

Dengan lain perkataan menurut al-Nawawi (W676H) dalam Syarah Muslim tidak terdapat sebuah kitab yang lebih sahih daripada Sahih al-Bukhari dan Muslim selepas al-Qur’an.

Kitab Sahih Al-Bukhari hanya mengandungi hadis-hadis sahih walaupun berada dalam kategori ahad, dengan penelitian yang begitu tinggi, rapi dan hanya dapat dilakukan oleh orang yang benar-benar alim sahaja seperti Imam al-Bukhari (W256H) yang turut digelar sebagai Amirul mukminin fi al-hadith.

Menurut Ibnu Hajar (W852H) dalam Irsyad al-Sari sekitar 110 hadis dipertikaikan dari sudut kesahihannya disebabkan kecacatan tertentu yang terdapat dalam rantai atau sanad hadis-hadis tersebut.

Namun setelah diteliti secara ilmiah, Ibnu Hajar merumuskan tidak kesemua hadis tersebut mempunyai kecacatan besar atau tercela untuk ditolak.

Dalam erti kata lain secara zahir nampak lemah tetapi dengan faktor sokongan lain-lain hadis tidak terjejas dan boleh dijadikan hujah.

MEMBUTA TULI

Pengikut dan sebahagian masyarakat kita terikut-ikut secara membuta tuli tanpa menilai kesahihan dan kebenaran hujah yang dikemukakan oleh tokoh ilmuan mereka.

Kecelaruan ini berlaku disebabkan ketidakmatangan sebahagian ilmuan dalam mengistitbat hukum apabila menganggap sumber hukum hanya bergantung kepada hadis mutawatir sahaja, sedangkan kewujudan hadis-hadis ini cukup terhad dan hanya sebilangan kecil sahaja daripada keseluruhan hadis Nabi Muhammad SAW.

Justeru keperluan untuk berpegang kepada hadis ahad dalam memetik hukum amat diperlukan kerana nisbah hadis kategori ini merangkumi sebahagian besar bilangan hadis Nabi Muhammad SAW yang berkemungkinan merangkumi 99 peratus daripada keseluruhan hadis yang sampai kepada kita pada hari ini.

Kita tidak mahu fatwa-fatwa kebangsaan dan negeri tidak diendahkan oleh pengikut-pengikut yang fanatik kepada pandangan ilmuan dan agamawan tertentu.

Golongan ini sering mengajak orang ramai mencontohi dakwah Nabi Muhammad SAW, akan tetapi golongan inilah yang melanggari hukum seperti perbuatan menentukan harga (upah) dalam berdakwah sedangkan negara-negara Arab tidak melakukannya.

Menurut mazhab Syafie harus menerima upah dengan syarat tanpa meminta dan keikhlasan pemberi, manakala mazhab Hanafi hukum menerimanya haram bersandarkan surah Shaad ayat 86 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta bayaran (upah) sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-ngada.”

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 41 yang bermaksud:

“Dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk mendapatkan keuntungan) untuk membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa”.

Firman ALLAH SWT lagi dalam surah Yasin ayat 21 yang bermaksud: "Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan (upah), sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk.”

Apakah pendakwah hari ini terlepas pandang dengan ayat-ayat tadi tentang hukum haram mengambil upah? Jangan ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan diri sendiri berjalan tidak lurus.

Jika pihak berwajib tidak bertegas dan mengambil tindakan kepada pengikut fanatik dan ilmuan jumud dikhuatiri sejarah al-Arqam akan berulang lagi, termasuklah mengapi-apikan masyarakat dalam penolakan pengambilan vaksin bagi menangani Covid-19.

* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang tokoh agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!