Jadi diri sendiri tidak cukup, buktikan dengan komitmen - Guardiola

Guardiola
Guardiola
A
A
A

PEMAIN Manchester City perlu komited sepenuhnya kepada misi dan visi kelab, kata pengendali Pep Guardiola menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang kelab Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam di Stadium Etihad.

Ini kerana penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu sedang bergelut ingin menamatkan siri keputusan yang mengerikan musim ini.

Kekalahan berturut-turut Manchester City berlanjutan kepada lima perlawanan apabila diaibkan Tottenham Hotspur, 0-4 dalam perlawanan liga di Etihad pada Ahad, menandakan kali pertama Guardiola tewas lima perlawanan berturut-turut dalam karier pengurusannya.

Ia juga merupakan kali pertama The Citizens tewas lima perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan sejak April 2006, sekali gus menyebabkan City berada di tangga kedua liga ketinggalan lapan mata di belakang Liverpool, yang akan kunjungi pada Isnin depan.

Kempen Manchester City musim ini terjejas selepas siri kecederaan melanda beberapa tonggak kelab iaitu pemenang Ballon d'Or, Rodri, bek tengah Ruben Dias, pemain tengah Mateo Kovacic serta pemain sayap Jeremy Doku dan Oscar Bobb, antara yang terpaksa diketepikan sementara.

Guardiola, yang menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun untuk terus kekal berkhidmat bersama Manchester City minggu lalu, telah membawa kelab tetangga Manchester United berkenaan memenangi 18 trofi utama termasuk enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu mahkota Liga Juara-Juara.

"Lihat dari mana kami datang. Sangat sukar untuk mempertahankan kejayaan yang kami miliki, sebab itu saya sangat santai. Dan sebab itu juga saya mahukan komitmen, komitmen, komitmen dan komitmen dalam kalangan setiap pemain Manchester City.

"Menjadi diri sendiri tidak mencukupi, kita perlu membuktikan dengan komitmen setiap hari," kata Guardiola yang pernah mengendalikan Bayern Munich (Bundesliga) dan Barcelona (Sepanyol).

Pengendali kelahiran Santpedor, Sepanyol berusia 53 tahun itu berkata, The Citizens harus berpegang kepada falsafah mereka lebih daripada sebelumnya di tengah-tengah perjuangan mereka berdepan cabaran luar biasa.

Artikel Berkaitan:

"Hanya kerana pasukan ini menang banyak, selama bertahun-tahun. Saya fikir dalam situasi itu, kami perlu pergi terus kepada prinsip kami.

"Kami mencipta banyak peluang, namun tidak memenangi pertarungan. Kami perlu berlari ke belakang kerana bek tengah utama tiada. Ya, Rodri tiada di sana.

"Kami biasanya bermain empat pemain pertahanan tengah, tetapi kami dilanda kecederaan, kami terpaksa memainkan (Ilkay) Gundogan, pemain tengah serangan terbaik kami, sebagai pemain tengah bertahan susulan siri kecederaan ini... Apa yang perlu kami lakukan? Berjuang. Jika tidak pada Rabu, Isnin depan, jika tidak berjaya kami akan terus mencuba," katanya.

Sebagai rekod Manchester City berada di tempat ke-10 Liga Juara-Juara dalam kalangan 36 pasukan dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan, dua mata daripada tempat kelayakan automatik.

LIGA JUARA-JUARA

RABU (27 NOVEMBER)

Slovan Bratislava lwn AC Milan, 1.45 pagi

Sparta Prague lwn Atletico Madrid, 1.45 pagi

Manchester City lwn Feyenoord Rotterdam, 4 pagi

Barcelona lwn Brest, 4 pagi

Bayern Munich lwn Paris Saint-Germain, 4 pagi

Inter Milan lwn RB Leipzig, 4 pagi

Young Boys lwn Atalanta, 4 pagi

Bayer Leverkusen lwn RB Salzburg, 4 pagi

Sporting Lisbon lwn Arsenal, 4 pagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!