Covid-19: Malaysia perlukan suntikan RM21 bilion rangsang ekonomi

Malaysia memerlukan suntikan pakej rangsangan bernilai antara RM19 bilion hingga RM21 bilion bagi meningkatkan ekonomi Malaysia susulan cabaran dihadapi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Malaysia memerlukan suntikan pakej rangsangan bernilai antara RM19 bilion hingga RM21 bilion bagi meningkatkan ekonomi Malaysia susulan cabaran dihadapi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia memerlukan suntikan pakej rangsangan bernilai antara RM19 bilion hingga RM21 bilion bagi meningkatkan ekonomi Malaysia susulan cabaran dihadapi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor berkata, berdasarkan analisa dibuat pihaknya, jumlah suntikan pakej rangsangan tersebut adalah saiz dana yang sangat diperlukan ketika ini.

Menurutnya, ia bagi memastikan sasaran pertumbuhan ekonomi negara mampu dikekalkan sekitar 4.8 peratus.

"Selain itu, kami juga bersetuju dengan cadangan kerajaan bahawa sektor pelancongan dan peruncitan memerlukan sokongan rangsangan bagi terus menyokong permintaan domestik, namun seperti mana kenyataan kami yang lalu, sektor pembinaan, terutama melalui pembinaan rumah mampu milik, harus diberikan penekanan oleh kerajaan melalui pakej rangsangan ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan sedang menimbang melancarkan pakej rangsangan ekonomi bagi meningkatkan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi akibat Covid-19.

Mazli berkata, sektor berimpak tinggi seperti pembinaan mampu untuk merangsang permintaan terutama bagi segmen peruncitan dan perbankan.

"Dengan sasaran satu juta rumah mampu milik yang akan dibina di antara tahun 2018 hingga tahun 2025 dan disokong dengan pakej rangsangan yang dicadangkan kerajaan, kami yakin ia mempunyai skala yang mencukupi untuk menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara," katanya.

Pada 6 Januari lalu, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat mencadangkan Malaysia untuk memperkenalkan pakej rangsangan bagi terus menyokong ekonomi untuk keluar daripada kelembapan sekarang.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan sebelum ini, Malaysia juga pernah beberapa kali memperkenalkan pakej rangsangan di antara tahun 2001 hingga tahun 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!