Cadang lesen jual minuman keras dihadkan, atasi pemandu mabuk
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri disaran membuat penambahbaikan bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk menghadkan lesen menjual lesen minuman keras.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berkata, jualan minuman keras di pasaran dan kedai serbaneka juga boleh dihadkan selain menambah baik beberapa perkara lain.
Menurut beliau, Parlimen sudah meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada Oktober 2020 berhubung hukuman berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.
"Selain itu, kempen keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan berterusan oleh pelbagai agensi perlu diperkasakan.
"Di samping meningkatkan pendidikan di pusat latihan memandu mengenai hukuman berat memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini, pada Isnin.
Beliau turut mencadangkan agar setiap kedai arak berlesen menyediakan kemudahan pemandu upahan, yang menjadi satu syarat untuk mendapatkan lesen penjualan minuman keras itu.
“Kenakan syarat ‘Designated Driver’ atau kemudahan pemandu upahan seperti yang dilakukan di Australia dan Jepun, di mana negara terbabit berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk,” ujarnya.
Pada 16 November lalu, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, kira-kira jam 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.
Kesemua mereka ini kini di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah keluarga bapa, Ramlah Kasiran, 56, dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!