Status terkini kemajuan LCS melebihi jadual perancangan - Khaled Nordin
KUALA LUMPUR - Status kemajuan semasa bagi perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) secara keseluruhan yang berakhir pada 25 Ogos lalu melebihi jadual perancangan iaitu sebanyak 69.58 peratus berbanding 69.50 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merangkumi elemen rekabentuk, pembinaan, peralatan dan ujian dengan perbezaan sebanyak 0.08 peratus.
“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak yang telah ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal ini akan disiapkan pada penghujung tahun sebelum ia menjalani Ujian Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tempoh dua tahun.
“Bagi kapal LCS kedua pula, ia akan turun ke permukaan air sebelum menjalani HAT dan SAT pada pertengahan tahun hadapan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas - Sik) mengenai perancangan kerajaan dalam menyegerakan pembinaan kapal LCS bagi menghadapi ancaman pihak luar terhadap kawasan zon ekonomi dan kepulauan milik Malaysia di perairan Laut China Selatan yang semakin meningkat.
Selain itu, ujar Mohamed Khaled, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Kementerian Pertahanan juga memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara terutama di Laut China Selatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!