Grab Malaysia pacu ekonomi Terengganu
Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, ini termasuk memberi peluang janaan pendapatan kepada lebih 60 orang kurang upaya (OKU) dan 100 Rakan Wanita Grab.
Menurut Rashid berkata, matlamat Grab Malaysia adalah untuk memperkasakan komuniti Rakan Grab dengan penyelesaian digital serta peluang pendapatan yang membolehkan mereka berkembang maju.
"Sejak dilancarkan di Terengganu pada tahun 2017, Grab telah membangunkan platform untuk mendayakan ekonomi tempatan melalui penyelesaian teknologi yang menyokong komuniti Rakan Grab di negeri ini.
"Pada masa sama, kami juga ingin memastikan pengguna boleh menikmati perkhidmatan yang mudah dan boleh dipercayai. Sebagai contoh di Terengganu, jumlah pendaftaran Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan telah meningkat lebih 20 peratus dari tahun ke tahun.
"Lebih mengagumkan lagi apabila lebih separuh dari PKS tempatan telah berjaya mengekalkan taraf lima bintang di platform Grab berdasarkan penilaian oleh jutaan penggemar makanan, sekali gus membuktikan kualiti tinggi dan kepercayaan yang dibina melalui ekosistem digital Grab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pertama TechTarik yang dianjurkan Grab Malaysia di Terengganu Digital 1303 di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rashid berkata, pengekalan taraf lima bintang di platform Grab itu membolehkan penduduk tempatan dan pelancong dalar menikmati pelbagai hidangan, barangan serta perkhidmatan unik di Terengganu.
"Perkembangan yang kita saksikan dari komuniti Rakan Grab di sini menyerlahkan impak transformatif teknologi dalam memacu pertumbuhan ekonomi inklusif di seluruh negeri," jelasnya.
Dalam pada itu, Rashid menyatakan di Terengganu, Grab mempunyai kedudukan yang unik untuk memajukan matlamat pelancongan negeri.
"Penyelesaian teknologi yang disediakan membantu pelancong berhubung dengan tarikan tempatan dan pengalaman budaya, memperkayakan perjalanan mereka sambil merancakkan ekonomi peniaga tempatan.
"Dari pengangkutan dan penghantaran makanan hingga ke penyelesaian untuk rakan peniaga, perkhidmatan Grab selaras dengan visi Terengganu untuk mencapai pelancongan yang mampan.
"Jadi Grab berharap dapat memudahkan perjalanan, meningkatkan pengalaman pengunjung serta memupuk peningkatan dalam pelancongan berasaskan komuniti iaitu teras strategi utama negeri ini," katanya.
Kisah kejayaan Rakan Grab Terengganu
Ibu tunggal hidup stabil sebagai rakan-pemandu Grab
Sejak April 2017, Zaimah Mohamed, seorang ibu tunggal yang berdedikasi, telah menjadi rakan-pemandu Grab secara sambilan, sambil mengimbangi pekerjaan tetapnya untuk menambah pendapatan keluarga.
Peluang pekerjaan tambahan ini telah mengubah hidupnya dengan ketara, meringankan beban kewangan dan membantunya menyara keluarga.
“Hasil kerja keras saya sebagai pemandu Grab, alhamdulillah saya berjaya membiayai salah seorang anak masuk belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Saya juga boleh menabung dengan hasil pendapatan daripada Grab untuk yuran pendidikan anak-anak dan keperluan asas, saya bersyukur kerana jalan untuk masa depan jadi lebih cerah,” katanya.
Melalui perjalanan bersama Grab, Zainab terus mencipta peluang bermakna untuk diri sendiri dan keluarganya, membuktikan impak positif pekerjaan fleksibel dalam memperkasa kehidupan.
Roti Jala King Size: Berkembang mampan dari Kampung Losong Haji Su
Roti jala yang menjadi kesukaan ramai terutamanya pembeli di sekitar Kuala Terengganu kini mampu melebarkan sayap perniagaannya selepas bersama Grab Malaysia.
Roti Jala King Size, yang berpusat di Kampung Losong Haji Su, memulakan perjalanan mereka dengan Grab pada tahun 2021.
Menurut pemilik Roti Jala King Size, Hani Syuhadah Borhanuddin, sejak menyertai GrabFood dan memanfaatkan digitalisasi, perniagaannya telah berkembang pesat, dengan peningkatan jualan sehingga RM15,000 sebulan.
“Syukur kerana kami telah mengekalkan penarafan 4.8 bintang yang mengagumkan dan aktif menyertai usaha promosi, menunjukkan sokongan kuat terhadap inisiatif Grab.
“Selain itu, bantuan melalui GrabFin telah membantuRoti Jala King Size menguruskan kewangan semasa musim mencabar, memberi kestabilan untuk terus berkembang.
“Perjalanan kami membuktikan impak digitalisasi dan kerjasama dalam membina perniagaan yang mampan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!