Percepat bina jambatan baharu di Felda Selancar - Pemuda Pas

Keadaan jambatan asal yang runtuh akibat hujan lebat Februari tahun lalu. Foto fail. (Gambar kecil: Ahmad Azlan)
Keadaan jambatan asal yang runtuh akibat hujan lebat Februari tahun lalu. Foto fail. (Gambar kecil: Ahmad Azlan)
A
A
A

KUANTAN - Dewan Pemuda Pas Pahang mendesak kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan jambatan baharu untuk kegunaan penduduk gugusan Felda Selancar, Rompin.

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, jambatan asal kawasan itu runtuh akibat hujan lebat Februari tahun lalu sekali gus menimbulkan kesulitan besar kepada penduduk selain berdepan dengan risiko keselamatan.

"Jadi desakan ini amatlah wajar dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit ini.

"Jangan sampai ada lagi nyawa yang melayang akibat kelalaian dan sikap acuh tak acuh dalam menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pada Mac kerajaan negeri telah membina jambatan sementara iaitu jambatan Bailey satu lorong bagi memudahkan penduduk menjalankan urusan harian.

Ahmad Azlan menambah, penduduk amat memerlukan sebuah jambatan ganti yang kekal dan lebih selesa.

"Mereka kecewa apabila setelah siap jambatan sementara itu cuma laluan satu lorong dan ia mengganggu kelancaran lalu lintas," jelas beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!