Papan tanda iklan: Pas Wilayah Persekutuan selar King Sing

Azhar
Azhar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas Wilayah Persekutuan memandang serius kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menolak penguatkuasaan papan tanda dwibahasa di kawasan pelancongan.

Pesuruhjayanya, Azhar Yahya menyifatkan sikap sedemikian menunjukkan kurangnya keprihatinan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, bahasa Melayu adalah identiti negara dan bukan sekadar bahasa komunikasi tetapi juga melambangkan jati diri negara dan rakyat Malaysia.

"Menguatkuasakan papan tanda dwibahasa, dengan bahasa Melayu diutamakan, adalah langkah penting untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di samping memenuhi keperluan pelancong asing.

"Kepentingan papan tanda dwibahasa untuk pembangunan pelancongan dan langkah mewajibkan papan tanda dwibahasa tidak akan menghalang kemajuan sektor pelancongan.

"Malah, ia boleh memperkukuhkan citra Malaysia sebagai negara yang menghormati budaya dan bahasa kebangsaannya sambil mesra kepada pelancong," ujarnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan King Sing mengkritik penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana ia mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

King Sing berkata, langkah kontroversi itu menyebabkan rasa tidak puas hati yang ketara dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan beberapa pelancong antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Azhar mengulas lanjut menambah, keperluan pelancongan harus diselaraskan dengan prinsip kedaulatan negara, termasuk menjaga martabat bahasa.

"Menteri wajar memimpin dengan visi yang selaras dengan Perlembagaan sebagai seorang Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing sepatutnya memimpin dengan pendekatan yang mendukung dasar negara," ujarnya lagi.

Justeru, Pas Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa apa-apa pandangan yang dilihat memperlekehkan bahasa Melayu adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan aspirasi rakyat Malaysia.

"Pas Wilayah Persekutuan turut mendesak agar Menteri Pelancongan menilai semula pendiriannya dan memastikan semua dasar berkaitan pelancongan mengambil kira kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Kerajaan perlu bersikap tegas dalam memelihara kedudukan bahasa ini tanpa kompromi dan semoga Malaysia terus maju sebagai negara yang berdaulat dengan identiti bahasa dan budaya yang terpelihara," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!