Program Residensi Rakyat guna konsep komuniti berpagar
KUALA LUMPUR - Program Residensi Rakyat (PRR) yang bakal dilancarkan tahun depan akan menggunakan konsep perumahan komuniti berpagar (gated community) bagi menambah baik pengurusan perumahan strata awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penghuni skim perumahan itu akan menerima kad akses untuk pintu pagar masuk bangunan dan lif.
"Sekiranya mereka bayar (yuran penyelenggaraan) akan dapat akses (masuk), jika mereka enggan bayar, saya mohon maaf.
"Ini untuk pastikan setiap mereka bekerjasama sebagai satu komuniti yang boleh hidup aman, sentosa dan hormat menghormati,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Kor Ming menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai kaedah penyelesaian isu perumahan strata kos rendah, termasuk kerosakan infrastruktur yang berpanjangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan peruntukan hampir RM900 juta untuk melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat.
Sebanyak 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025, yang bakal memberi manfaat kepada hampir 17,500 penghuni baharu.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kerajaan bersetuju untuk menjalankan kajian dan pindaan terhadap Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), bagi meneliti semula peruntukan undang-undang sedia ada, mengambil kira keperluan dan situasi semasa.
Antara perkara yang akan diteliti termasuk peranan dan pemerkasaan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) serta menangani isu pertindihan undang-undang strata dengan akta berkaitan.
Bagi memperkasakan fungsi Pesuruhjaya Bangunan (COB), Nga berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyelaraskan COB di bawah satu jabatan atau agensi di peringkat Persekutuan. Langkah ini bertujuan memastikan pemantauan yang lebih efisien, tetapi masih mematuhi perundangan Persekutuan dan negeri.
Beliau menjawab soalan asal Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung usaha memperkasakan COB dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani masalah pengurusan perumahan, terutamanya rumah pangsa kos rendah seperti kerosakan infrastruktur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!