Nilai potensi pelaburan pusat data di Selangor melebihi RM53 bilion

Ng Size Han
Ng Size Han
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah potensi nilai pelaburan pusat data di Selangor dianggarkan melebihi RM52 bilion untuk jangka masa 10 tahun melalui 17 projek pusat data yang telah direkodkan.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han memaklumkan syarikat dan lokasi pusat data di negeri Selangor adalah seperti Google di Sungai Buloh dan NextDC di Petaling Jaya.

"Selain itu, Vantage Data Centre, Bridge Data Centre, Equinix, NTT Global Data Centre, Microsoft EdgeConneX dan ST Telemedia Global Data Centre masing-masing di Cyberjaya serta HeiTech Padu di Shah Alam," ujarnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Sze Han berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) mengenai nama syarikat dan lokasi pusat data dan jumlah nilai pelaburan yang dijana oleh pusat data.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu turut memaklumkan kategori peluang pekerjaan yang dicipta oleh operator pusat data berbeza antara satu sama lain.

"Antara jenis pekerjaan umum yang boleh diwujudkan melalui pembangunan pusat data adalah pengurus operasi pusat data, jurutera dan pengurus fasiliti.

"Selain itu, jawatan pengurus projek, jurutera awam dan jurutera rangkaian serta penyelidikan dan pembangunan turut ditawarkan," jelasnya menjawab pertanyaan mengenai peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui pusat data itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!