Tak wajar pertikai tugas DBKL semata-mata nak jaga hati pelancong

DBKL melakukan operasi menurunkan papan tanda iklan yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan. (Gambar kecil: Radzuan) Foto DBKL
DBKL melakukan operasi menurunkan papan tanda iklan yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan. (Gambar kecil: Radzuan) Foto DBKL
A
A
A

SHAH ALAM - Individu berjawatan tinggi dalam kerajaan tidak wajar mempertikaikan tugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meninjau, mengumpul data kesalahan dan melaksanakan pematuhan lesen termasuk papan tanda dwibahasa di pusat beli-belah.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu kerana kurang memahami peruntukan undang-undang berhubung penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Adalah menyedihkan apabila tindakan itu dibuat oleh pihak berjawatan tinggi dalam kerajaan Madani yang sepatutnya faham dengan segala peruntukan.

“Kita tidak harus membenamkan undang-undang sedia ada hanya semata-mata untuk menjaga hati pelancong asing lebih-lebih lagi melibatkan soal bahasa kebangsaan.

“Kononnya Malaysia akan dianggap sebagai negara perkauman kerana melaksanakan papan tanda dalam bahasa kebangsaan, kenyataan tersebut mengarut dan tidak sepatutnya diucapkan daripada mulut rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya tidak setuju dengan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa DBKL kerana menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

King Sing memaklumkan, situasi berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan pelawat antarabangsa sama ada Malaysia merupakan sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama.

Dalam pada itu, Pemuisi juga menggesa kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap pesalah bahasa termasuk kesalahan papan tanda perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Perkara itu perlu dilakukan agar bahasa kebangsaan digunakan dengan betul dan sempurna dalam kalangan masyarakat. DBP seharusnya mempunyai ‘taring atau gigi’ bagi membolehkan kesalahan bahasa ditangani dengan berkesan.

“Taring atau kuasa khusus dalam menangani dan menguatkuasakan kesalahan bahasa amat diperlukan serta tidaklah sekadar memberi nasihat sahaja seperti amalan sekarang yang terbukti tidak berkesan.

“Jadi, saya harap kita dapat menghentikan cakap yang boleh menyakitkan hati sebaliknya berusaha memulihkan negara daripada kemelut ekonomi dan kehidupan rakyat yang kian meruncing khususnya dalam kalangan B40,” ujarnya.

Kata beliau, Pemuisi akan sentiasa menyokong apa juga tindakan dibuat bagi memartabatkan bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi ia termaktub dalam undang-undang sedia ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!