MPPD sediakan 33 kawasan khas payung pantai

Arul Kumar ketika menjawab soalan lisan pada sidang DUN Negeri Sembilan pada Selasa.
Arul Kumar ketika menjawab soalan lisan pada sidang DUN Negeri Sembilan pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menyediakan kawasan khas untuk menempatkan payung pantai yang lebih cantik dan tersusun bagi pelaksanaan kaedah baharu penyelesaian isu khemah biru di Pantai Telok Kemang, Port Dickson.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, sebanyak 33 kawasan khas disediakan yang mana kerja menaik taraf bagi tujuan tersebut telah pun dimulakan sejak 18 November lepas.

"Sewaan payung pantai itu pula hanya dibenarkan berada di plot (kawasan khas) masing-masing membabitkan keluasan berukuran 40 kaki x 20 kaki. Ia dijangka bermula berkuatkuasa pada 16 Disember nanti.

"Penentuan kawasan khas untuk penempatan payung pantai ini melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) mengenai isu sewaan khemah biru di Telok Kemang pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Selasa.

Arul Kumar (PH-Nilai) berkata, kaedah undian peniaga yang layak akan dilaksanakan pada masa terdekat susulan jumlah peniaga semasa melebihi plot yang disediakan.

"MPPD juga akan menyediakan lapan payung pantai, dua kerusi dan sebuah meja yang bersesuaian bagi setiap plot selain memasang papan tanda berserta nombor 'hotline' jabatan penguat kuasa.

"Ia bertujuan mengingatkan Pantai Telok Kemang merupakan pantai awam termasuk memudahkan sebarang salah laku penggunaan pantai awam.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, MPPD bakal menaik taraf pusat kawalan di Pantai 3 Telok Kemang bagi menempatkan anggota secara statik terutama pada hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Ujarnya, peruntukan secara one off turut diberikan meliputi kos payung pantai, kerusi, meja, naik taraf plot, naik taraf pusat kawalan dan papan tanda berkaitan.

Terdahulu notis pemberhentian perniagaan sewaan khemah bagi ketiga-tiga pantai iaitu Pantai Telok Kemang, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Biru berkuatkuasa 18 November lepas, selepas tarikh tersebut tiada lagi aktiviti sewaan khemah dibenarkan di semua pantai Daerah Port Dickson.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!