KL bandar kelapan terbaik dunia untuk ekspatriat diami

Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama dunia untuk didiami warga asing bertaraf nilai tinggi atau ekspatriat. Gambar hiasan
Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama dunia untuk didiami warga asing bertaraf nilai tinggi atau ekspatriat. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama dunia untuk didiami warga asing bertaraf nilai tinggi atau ekspatriat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, data itu dikeluarkan oleh Expat City ranking 2023.

Menurutnya, antara tarikan utama bagi ekspatriat ialah kos sara hidup secara relatifnya adalah rendah untuk mereka, di samping kestabilan politik.

“Ketiga, mereka melihat potensi kerancakan ekonomi. Selain itu, kemahiran dalam kalangan rakan sekerja tempatan. Mereka mudah berkomunikasi kerana penguasaan bahasa dan faktor-faktor ini menyumbang kepada Malaysia pada ranking kelapan tahun lepas,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang jumlah dan peratusan ekspatriat yang berhijrah ke Malaysia mengikut pecahan negara dan nilai sumbangan ekonomi mereka sejak dari tahun 2019 hingga 2023.

Tambah Saifuddin, sehingga 31 Oktober, terdapat 120,183 pegawai ekspatriat dengan lima negara tertinggi, melibatkan semua kategori termasuk bidang perkhidmatan dan teknologi maklumat.

“Ekspatriat dari China berjumlah 27,460 orang, diikuti India (23,131), Filipina (9,302), Jepun (8,739), Indonesia (8,333), merangkumi 64 peratus daripada keseluruhan ekspatriat.

“Selebihnya iaitu lain-lain negara adalah 36 peratus daripada 120,183 orang,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kata Saifuddin, ada tiga kategori pegawai ekspatriat atau pegawai dagang yang disusun mengikut kategori tangga gaji, iaitu pertama RM10,000 ke atas, kedua gaji RM5,000 hingga RM9,999 ke atas.

Ketiga ialah kelompok gaji RM3,000 hingga RM4,999, yang mana julat gaji yang diklasifikasikan sebagai pegawai ekspatriat berdasarkan pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.

“Impak ekonomi pula, secara langsung atau tidak langsung mereka membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, tinggal di sini, anak mereka bersekolah, melancong, perbelanjaan domestik, bayar bil utiliti dan melabur.

“Jadi, kayu ukurnya ada dua. Pertama, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganggarkan sumbangan impak ekonomi keberadaan pegawai ekspatriat di negara kita ialah RM75 bilion, menyamai 4.8 peratus daripada keseluruhan KDNK Negara.

“Kayu ukur yang kedua adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mengumpul sehingga RM100 juta cukai pendapatan daripada kelompok ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!