Malaysia sasar guna 180 liter air seorang sehari menjelang 2030

Fadillah ketika merasmikan NWICE 2024 pada Selasa.
Fadillah ketika merasmikan NWICE 2024 pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan air bagi rakyat Malaysia kepada 180 liter setiap orang sehari (LCD) menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan penggunaan air sebanyak 228 liter sehari bagi setiap orang pada masa kini adalah tinggi.

"Penyaluran air terawat yang dibekalkan daripada 348 loji rawatan air di seluruh Semenanjung dan WP Labuan boleh menampung sehingga 18,842 juta liter sehari (JLH)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Inovasi Air Kebangsaan Ke-2 (NWICE) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Selasa.

NWICE 2024 yang membawa tema 'Transformasi Air Menuju Kemampanan Sejagat' ini menghimpunkan lebih 800 delegasi, 120 pembentangan kertas kerja dan 100 pempamer daripada pelbagai sektor dari dalam serta luar negara.

Tambah Fadillah, buat masa ini, 97.1 peratus penduduk mempunyai akses kepada perkhidmatan bekalan air bersih.

Ujar beliau, Purata Air Tidak Terhasil (NRW) juga masih berada pada tahap tinggi iaitu sekitar 34.6 peratus berbanding sasaran 31 peratus menjelang tahun depan.

"Selain itu, kadar rizab margin di Semenanjung dan WP Labuan berada pada tahap 15.3 peratus. Hanya empat negeri sahaja yang berada di bawah rizab margin tahap selesa, iaitu antara 10 hingga 15 peratus di Kedah, Perlis, Kelantan dan Melaka.

Artikel Berkaitan:

Fadillah ketika mengunjungi reruai pada persidangan tersebut.
Fadillah ketika mengunjungi reruai pada persidangan tersebut.

"Berdasarkan perancangan projek semasa di bawah pelan perniagaan operator air, kadar rizab margin dijangka meningkat kepada 15.7 peratus menjelang tahun depan dan 23.8 peratus menjelang 2030 sekiranya semua projek yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual," ujar beliau.

Dalam pada itu, Fadillah menggesa semua pihak mengubah persepsi air daripada satu sektor memerlukan kos tinggi kepada satu kaedah yang mampu menjana pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan serta kepesatan ekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Mohd Zaki Mat Amin memaklumkan, isu kesedaran rakyat memainkan peranan penting dalam mengurangkan penggunaan air kerana mereka (rakyat) ketika ini merasa mewah dengan sumber air yang banyak.

"Orang ramai masih tidak mempedulikan penggunaannya kerana merasakan negara ini tiada masalah sumber air. Sedangkan realitinya hujan hanya berlaku pada hujung tahun.

"Tetapi bagaimana kita boleh memastikan pengurusan air yang baik termasuk memproses air hujan atau ketika musim tengkujuh atau menggunakannya semula dalam konteks kritikal," katanya.

Persidangan berkenaan berlangsung selama tiga hari memfokuskan kepada pembangunan dan transformasi industri air serta pembentungan negara merangkumi tiga sub-tema iaitu Lonjakan dan Evolusi Prasarana Pembentungan Negara, Menerajui Keterjaminan Air - Mendepani Perubahan Iklim dan Teknologi Tanpa Korekan, Inovasi Hijau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!