Lelaki maut kereta terbabas rempuh besi pembahagi jalan

Keadaan Perodua Myvi dipandu Mohd Noor (gambar kecil) selepas merempuh besi penghadang jalan.
Keadaan Perodua Myvi dipandu Mohd Noor (gambar kecil) selepas merempuh besi penghadang jalan.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Kilometer 306.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat susur keluar menuju Plaza Tol Kijal, pagi Selasa.

Nahas berlaku kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Noor Yunus, 37, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian mangsa yang juga seorang penjawat awam dari arah Kuala Terengganu menuju ke tempat kerja di Kemaman.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas besi penghadang lebuhraya menembusi bahagian hadapan keretanya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas terlibat kemalangan di Kilometer 306.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat susur keluar menuju Plaza Tol Kijal, Kemaman pada pagi Selasa.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas terlibat kemalangan di Kilometer 306.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat susur keluar menuju Plaza Tol Kijal, Kemaman pada pagi Selasa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Kerteh bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan berkenaan pada jam 6.12 pagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa yang disahkan meninggal oleh pasukan perubatan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat, "ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!