Sindiket scammer perguna pegawai bank
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai bank dipergunakan sindiket penipuan untuk mengambil wang sebanyak RM100,000 secara bersemuka daripada mangsa lain, pada Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 37 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM138,000 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan phone scam.
"Seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta itu membuat laporan polis pada 28 Oktober lalu selepas mendapati dirinya menjadi mangsa penipuan," katanya pada sidang akhbar di di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa menerima panggilan pada pertengahan Oktober daripada individu yang mendakwa wakil syarikat e-dagang.
“Sindiket mendakwa nombor telefon mangsa digunakan dalam aktiviti penjualan barangan terlarang, walaupun mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya.
Ujar Ramli, mangsa diarahkan memindahkan RM38,000 ke akaun bank tertentu kononnya untuk tujuan siasatan.
"Mangsa turut diminta menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada seorang wanita yang juga pegawai bank secara bersemuka.
“Hasil siasatan polis mendedahkan wanita berusia 30 tahun itu juga menjadi mangsa sindiket phone scam tersebut," katanya.
Menurutnya, wanita itu telah ditahan untuk membantu siasatan.
"Siasatan lanjut mendapati wanita itu diperdaya oleh sindiket sejak Ogos lalu.
"Sindiket berkenaan mengarahkan wanita itu melapor diri setiap tiga jam dan membuat pinjaman bank berjumlah RM89,000, yang kemudian dipindahkan ke akaun tertentu.,” katanya.
Kata Ramli, wanita tersebut juga diarahkan oleh sindiket untuk mengambil wang tunai RM100,000 daripada mangsa lelaki dan memindahkannya ke empat akaun bank berbeza.
"Pemeriksaan terhadap telefon bimbit wanita itu membongkar penglibatannya sebagai mangsa yang dipergunakan oleh sindiket.
“Dia kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan," ujarnya.
Tambah beliau lagi, kes itu antara contoh bagaimana sindiket phone scam semakin bijak memanipulasi psikologi mangsa sehingga mereka tidak sedar dipergunakan sebagai sebahagian daripada rangkaian penipuan tersebut.
“Jika sebelum ini, ancaman phone scam hanya berkisar kepada kehilangan wang, kini mangsa boleh diperdaya untuk menjadi ‘ejen’ sindiket tanpa disedari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!