Pengurus simpan mesin cetak tanpa lesen didenda RM7,600
PETALING JAYA - Seorang pengurus syarikat percetakan didenda RM7,600 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah, lima bulan lalu.
Hui Pooi Loong, 47, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Said.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah, yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebagai mana peruntukan Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat terbabit di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini pada jam 11.50 pagi, 7 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(4) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa KDN, Mohd Amin Azhar Qairil Yusoff memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal namun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan denda pada kadar minimum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!